DUNIA

Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari Berikutan Pengambilan Untung Berterusan

29/04/2025 01:56 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah semasa tengah hari pada Selasa, susulan prestasi tidak menentu ketika dagangan pagi disebabkan aktiviti pengambilan untung berterusan walaupun trend pasaran serantau kebanyakannya positif.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.33 mata kepada 1,519.26 daripada 1,521.59 ketika ditutup semalam.

Indeks itu dibuka 0.61 mata lebih rendah kepada 1,520.98 dan bergerak antara 1,518.68 hingga 1,524.50 sepanjang dagangan pagi.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 411 berbanding 336, manakala 449 kaunter tidak berubah, 1,244 kaunter tidak diniagakan dan 117 digantung.

Jumlah dagangan 2.18 bilion saham bernilai RM893.3 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata pergerakan pasaran berkemungkinan tidak banyak berubah selepas beberapa hari mencatatkan aliran meningkat.

Semalam, bursa tempatan ditutup pada paras tertinggi harian, menandakan sesi kenaikan keempat berturut-turut.

“Ini adalah pembetulan yang positif untuk indeks ini dan ia juga menyediakan asas untuk indeks ini membentuk aliran meningkat yang baharu,” katanya kepada Bernama.

Antara kaunter berwajaran tinggi, Public Bank turun satu sen kepada RM4.44, IHH Healthcare kurang tiga sen kepada RM6.86, manakala Maybank, Tenaga Nasional dan CIMB masing-masing kekal pada RM9.99, RM13.60 dan RM6.99.

Bagi saham aktif, NEXG turun tiga sen kepada 34 sen, WTEC Group yang baru disenaraikan di Pasaran ACE susut dua sen kepada 23 sen, Tanco tidak berubah pada 88 sen, sementara Velesto menambah setengah sen kepada 16 sen dan Notion VTec naik 2.5 sen kepada 72 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas kurang 9.68 mata kepada 11,291.13, Indeks FBMT 100 susut 10.51 mata kepada 11,061.26, Indeks FBM Emas Shariah turun 11.45 mata kepada 11,136.87, dan Indeks FBM ACE menguncup 14.10 mata kepada 4,615.99 manakala Indeks FBM 70 meningkat 10.50 mata kepada 15,885.84.

Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 49.22 mata kepada 18,114.10, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 0.13 mata kepada 149.48, Indeks Perladangan merosot 30.41 mata kepada 7,193.21, manakala Indeks Tenaga meningkat 2.91 mata kepada 678.48.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan