AM

Jelajah Bandar Bersih Johor 2030, Platform Penting Memupuk Kesedaran Alam Sekitar

29/04/2025 05:27 PM

MERSING, 29 April (Bernama) -- Jelajah Bandar Bersih Johor 2030 menjadi platform pendidikan penting untuk memupuk kesedaran alam sekitar dan pengurusan sisa kepada rakyat Johor, kata Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor Datuk Samsolbari Jamali.

Beliau berkata program berkenaan sebahagian daripada usaha memberi mesej penting untuk rakyat Johor bersama-sama menjaga kelestarian alam sekitar dan menggalakkan masyarakat mengekalkan alam sekitar yang bersih.

“Keselamatan, Kebersihan dan Alam Sekitar yang terletak di bawah Teras ke-5 Agenda Maju Johor 2030 merupakan antara fokus utama kerajaan negeri yang selari dengan matlamat pembangunan mampan (SDG). 

“Di bawah sektor kebersihan, Program Johor Bersih telah dilaksanakan bertujuan untuk memastikan kebersihan di negeri ini berada di tahap terbaik dan optimum,” katanya pada Majlis Perasmian Program Jelajah Bandar Bersih Johor 2030 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Khalid Mohamed.

Justeru, Samsolbari berkata Jelajah Bandar Bersih Johor 2030 dengan misi memperkasakan budaya kebersihan, penglibatan dan tanggungjawab serta perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang cekap dan berkesan, menjadi panduan utama dalam pelaksanaan Strategi Bandar Bersih Johor 2025-2030. 

Beliau berkata strategi ini dirangka bagi menyokong dan memperkukuhkan Agenda Johor Bersih, yang bermatlamat untuk menjadikan Johor sebuah negeri maju yang mampan.

Program Jelajah Bandar Bersih Johor 2030 ialah satu inisiatif strategik kerajaan negeri bersama SWCorp dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menyemarakkan budaya kebersihan dan kelestarian alam sekitar.

Mersing menjadi destinasi kedua program berkenaan selepas Johor Bahru, diikuti Kota Tinggi pada 24 Mei, Segamat (5 Jun), Iskandar Puteri (21 Jun), Simpang Renggam (26 Julai), Batu Pahat (23 Ogos), Muar (25 Okt), Pontian (7 Feb, 2026), Labis (25 April, 2026), Tangkak (16 Mei, 2026), Pasir Gudang (27 Jun, 2026), Kluang (25 Julai, 2026), Yong Peng (22 Ogos, 2026) dan Kulai (24 Okt, 2026).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan