KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Mesyuarat Agung Tahunan The Track II Network of ASEAN Defence and Security Institutions (NADI) 2025 berlangsung di Resorts World Awana Genting Highlands, Pahang bermula hari ini hingga Khamis ini.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan mesyuarat yang diadakan di Malaysia bersempena peranan negara sebagai pengerusi ASEAN tahun ini menghimpunkan 43 delegasi daripada 13 institusi negara ASEAN, termasuk Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
“NADI merupakan mekanisme untuk memudahkan dialog berterusan dan pertukaran intelektual antara institusi pemikir pertahanan dan keselamatan dalam kalangan negara anggota ASEAN.
“Ia juga ditubuhkan untuk melengkapkan dan menyokong proses formal mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM),” menurut kenyataan itu.
Menurut MINDEF, NADI juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan, membina keyakinan serantau dan berfungsi sebagai platform untuk perkongsian perspektif strategik yang relevan dalam pelbagai isu keselamatan yang menjejaskan rantau Asia Tenggara serta memperkukuh diplomasi pertahanan.
MINDEF memaklumkan majlis pembukaan mesyuarat itu disempurnakan Ketua Eksekutif Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) Lt Jen Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri, yang juga pengerusi mesyuarat tahun ini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pertahanan Datin Roszanina Wahab yang mewakili Ketua Setiausaha kementerian itu turut hadir menyampaikan ucaptama bertajuk “Perpaduan ASEAN untuk Keselamatan dan Kemakmuran".
Dua topik utama menjadi fokus perbincangan sepanjang mesyuarat iaitu “Peranan Strategik ADMM dalam Menangani Cabaran Kompleks dan Pelbagai Terhadap Kesepaduan ASEAN” dan “Memanfaatkan Teknologi Baharu Muncul untuk Memperkukuh Perpaduan ASEAN: Perspektif Strategik daripada ADMM”.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial