GEORGE TOWN, 29 April (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah kapal korek yang bersauh tanpa kebenaran di perairan Pulau Kendi, semalam.
Pengarah APMM negeri Kapten Maritim Razali Kasim berkata kapal berkenaan dikesan bersauh oleh pasukan rondaan yang menjalankan pemeriksaan rutin sekitar 4.30 petang, kira-kira 0.6 batu nautika di tenggara Pulau Kendi.
“Kapal itu membawa muatan pasir dan dikendalikan lapan kru warga asing terdiri daripada warga Indonesia dan China, kesemuanya memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kapal itu tidak memiliki kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia seperti yang dikehendaki di bawah undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, Razali berkata dua kru kapal berkenaan berusia antara 35 hingga 59 tahun telah dibawa ke pejabat APMM negeri untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 491B(1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Beliau berkata APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang laut negara dan akan terus memperketat pengawasan khususnya terhadap aktiviti mencurigakan di perairan negeri ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial