AM

Kedah Akan Laksana Kaedah Kawalan Penjualan Vape

30/04/2025 04:27 PM

ALOR SETAR, 30 April (Bernama) -- Kedah akan melaksanakan kaedah kawalan penjualan rokok elektronik atau vape sebelum membuat sebarang keputusan berhubung larangan penjualan produk itu.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerajaan negeri tidak akan terburu-buru dalam membuat keputusan untuk mengharamkan penjualan produk berkenaan memandangkan lesen telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Terengganu telah mula pada 2016 lagi proses untuk melarang penjualan vape di Terengganu… di Kedah, PBT telah keluarkan lesen untuk premis penjualan vape sebelum ini, jadi bila lesen dah ada mereka berhak beroperasi, kita tak boleh buat keputusan hari ini, nanti mereka saman kita pula,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah Mansor Zakaria telah diminta membentangkan kertas cadangan berhubung langkah kawalan itu pada mesyuarat Exco Kerajaan Negeri akan datang.

Muhammad Sanusi juga berkata langkah kawalan akan dilaksana sehinggalah lesen-lesen premis penjualan vape tamat dan selepas itu, baharulah keputusan mengenai penjualan produk berkenaan dibuat.

Mansor pula berkata kaedah kawalan yang dicadangkan adalah sama seperti penjualan rokok ketika ini iaitu produk tersebut tidak dibenarkan dijual kepada remaja dan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun selain tidak boleh diiklankan.

“Sekarang ini, kedai vape menggunakan papan iklan bagi mempromosi produk itu di premis mereka, itu nanti tidak akan dibenarkan.

"Selain itu, produk tersebut mesti dijual di premis tertutup seperti kedai serbaneka,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan negeri mempunyai ruang daripada sudut undang-undang untuk menguatkuasakan larangan penjualan vape.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan