Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Ringgit meneruskan kenaikan untuk mengakhiri minggu ini dengan lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, didorong keyakinan baharu terhadap perdagangan global, kata penganalisis.
Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2560/2600 berbanding dolar AS daripada 4.3130/3185 ketika ditutup pada Rabu.
Pasaran ditutup semalam sempena cuti umum Hari Pekerja.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata prestasi yang terus memberangsangkan itu mencerminkan sentimen pelabur yang bertambah baik, disokong oleh tanda-tanda kemungkinan rundingan perdagangan antara AS dan China.
“Nampaknya ada beberapa petanda yang positif berkaitan perang perdagangan antara AS dan China, dengan pegawai kerajaan China membayangkan kemungkinan rundingan perdagangan dengan AS,” katanya kepada Bernama.
Pada akhir dagangan hari ini, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding beberapa mata wang utama.
Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9437/9467 daripada 3.0142/0182 ketika ditutup pada Rabu, dan naik berbanding euro kepada 4.8297/8342 daripada 4.9009/9071.
Unit tempatan juga lebih stabil berbanding pound British kepada 5.6639/6692 daripada 5.7626/7699.
Ringgit turut diniagakan tinggi berbanding mata wang negara ASEAN yang lain.
Ringgit tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.2862/2898 berbanding 3.3027/3074 ketika ditutup pada Rabu, dan meningkat berbanding baht Thai kepada 12.8697/8903 daripada 12.9066/9304.
Mata wang domestik turut meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.65/7.67 daripada 7.72/7.73 pada Rabu dan lebih kukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 258.8/259.3 daripada 259.7/260.2.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial