DUNIA

Ringgit Ditutup Tinggi Berikutan Tindak Balas Kerajaan Terhadap Kesan Tarif Timbal Balik AS

05/05/2025 07:50 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, berikutan tindak balas kerajaan terhadap kesan tarif timbal balik daripada AS, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit melonjak kepada 4.1990/2035 berbanding dolar AS daripada 4.2560/2600 ketika ditutup Jumaat lalu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sidang khas Parlimen hari ini menunjukkan bahawa kerajaan bersikap pragmatik dalam menangani kejutan tarif yang dilaksanakan oleh Presiden AS Donald Trump.

“Sidang khas itu menyarankan untuk kerajaan mengakui hakikat bahawa kejutan tarif dijangka memberi kesan kepada ekonomi dan bersedia untuk mengambil langkah-langkah yang perlu bagi mengurangkan kesannya.

“Ia menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk bersikap terbuka dalam komunikasi mereka kepada orang awam. Jadi, pada tahap tertentu, ini boleh membantu menyumbang kepada keyakinan terhadap ekonomi dan kerajaan kita, dan akhirnya kepada kekuatan ringgit,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Mohd Afzanizam berkata laporan senarai gaji bukan pertanian yang lebih baik daripada jangkaan pada Jumaat lalu gagal memulihkan nilai dolar AS, dengan Indeks Dolar AS (DXY) terus berlegar sekitar 99 mata.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata gabungan sentimen optimis serantau dan perkembangan dalam negara telah menyokong prestasi positif ringgit.

Beliau berkata di peringkat serantau, harapan baharu terhadap penyelesaian tarif antara AS dan China telah mencetuskan penarafan semula mata wang Asia secara meluas, memberikan rangsangan ketara kepada ringgit.

“Kelemahan dolar secara meluas dan peningkatan permintaan dalam negara terhadap aset ringgit telah mewujudkan keadaan yang sesuai untuk lonjakan nilai.

“Pergerakan ringgit adalah sebahagiannya didorong oleh asas-asas ekonomi, dan sebahagiannya oleh aliran modal. Dan jika naratif pelonggaran perdagangan terus mendapat sambutan, ia mungkin berlanjutan,” tambahnya.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9192/9225 daripada 2.9437/9467 ketika ditutup pada Jumaat, mengukuh berbanding euro kepada 4.7629/7680 daripada 4.8297/8342 dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.5868/5928 daripada 5.6639/6692.

Ringgit juga menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding mata wang di negara-negara ASEAN.

Mata wang itu naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2644/2682 berbanding 3.2862/2898 dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.7497/7747 daripada 12.8697/8903 pada penutup Jumaat.

Ia juga mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.53/7.54 daripada 7.65/7.67 pada Jumaat dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 255.1/255.5 daripada 258.8/259.3.

-- BERNAMA   

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan