AM

Ombak Villa Langkawi Perkenal 'Senja', Dewan Acara Menghadap Laut Pertama Di Langkawi

06/05/2025 12:09 AM

ALOR SETAR, 5 Mei (Bernama) -- Ombak Villa Langkawi, sebuah pusat peranginan yang dikendalikan MK Land Holdings Bhd memperkenalkan ‘SENJA’, dewan acara pertama di Langkawi yang menghadap laut dan menjadi permata terbaharu dalam landskap acara di pulau peranginan itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, MK Land memaklumkan SENJA direka dengan penekanan kepada kepelbagaian fungsi, kelestarian dan keindahan alam semula jadi, menjadikannya sebagai sebuah lokasi acara yang unik sekali gus mengubah landskap acara destinasi di Malaysia.

“Terletak berhampiran laut, pemandangan panorama dari SENJA kekal sebagai tarikan paling memukau, menawarkan latar belakang yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana ruang acara lain di Langkawi,” menurut kenyataan itu.

Menurut MK Land lagi, SENJA direka sebagai ruang acara serba boleh yang sesuai untuk kegunaan dalam dan luar bangunan yang mampu menampung hingga 400 tetamu di ruang dalam dan 300 tetamu di ruang luar.

Ia sekali gus menjadikannya lokasi ideal untuk pelbagai jenis acara, termasuk persidangan korporat, pelancaran produk, graduasi dan majlis perkahwinan.

Selain itu, selaras dengan misi kelestarian Ombak Villa Langkawi, SENJA dibina dengan ciri-ciri reka bentuk yang mesra alam seperti pemasangan 24 panel solar, sistem tadahan air hujan, pengudaraan semula jadi, serta kaedah penyejukan pasif. 

“Panel kaca bersaiz besar digunakan untuk memaksimumkan pencahayaan semula jadi manakala bahan binaan lestari digunakan secara menyeluruh.

“Lebih penting lagi, 33 pokok kelapa matang dipelihara di tapak asalnya sebagai sebahagian daripada komitmen SENJA terhadap pemuliharaan alam sekitar manakala lebih 100 pokok dan 3,000 pokok renek telah ditanam di sekitar kawasan landskap SENJA,” katanya.

Tambah MK Land, usaha ini menyokong aspirasi SENJA untuk memperoleh pensijilan Penarafan Perak daripada Green Real Estate (GreenRE) yang bakal menjadikannya ruang acara pertama di Malaysia dengan pengiktirafan tersebut.

MK Land turut memaklumkan, sebagai pelengkap kepada komitmen hijau, kebun eko milik resort itu ‘Daun & Akar’ turut menanam lebih 15 jenis herba, buah-buahan dan sayur-sayuran yang digunakan di pelbagai ‘outlet’ makanannya sekali gus menyokong prinsip ‘dari ladang ke meja makan’ dengan bahan segar dan bebas bahan kimia.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan