EKONOMI

Rundingan Diplomatik Dilihat Kunci Capai Perjanjian Dagangan Malaysia-AS Lebih Adil, Seimbang

05/05/2025 08:28 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) percaya bahawa rundingan diplomatik yang berterusan antara kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) boleh membawa kepada perjanjian perdagangan yang adil dan seimbang.

Presidennya, Datuk Ng Yih Pyng dalam satu kenyataan hari ini berkata perjanjian sebegitu akan memperkukuh perdagangan dan pelaburan dua hala Malaysia-AS melalui akses pasaran yang lebih baik dan pengurangan tarif.

“Tiada sebab untuk mencetuskan gelora ekonomi yang besar kepada perniagaan di kedua-dua negara, khususnya bagi sektor dan industri yang mempunyai kehadiran pasaran yang ketara di AS dan sebaliknya,” katanya.

Ng dalam pada itu turut mencadangkan agar kerajaan meningkatkan jumlah Geran Pembangunan Pasaran (MDG), yang kini berjumlah RM5,000 untuk pameran atau ekspo antarabangsa yang diadakan di Malaysia dan RM25,000 bagi acara yang dianjurkan di luar negara.

Beliau berkata ACCCIM menyokong usaha untuk memperluas rangkaian perjanjian perdagangan bebas (FTA), termasuk menyambung semula rundingan FTA dengan Korea Selatan dan Kesatuan Eropah (EU).

Pada ketika banyak negara berdepan isu tembok tarif ini, kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyuarakan kebimbangan bahawa lebih banyak produk daripada rakan dagang Malaysia akan membanjiri pasaran domestik, dan ini akan melemahkan industri tempatan.

“Kemasukan besar-besaran barangan asing sudah pasti akan meningkatkan tekanan persaingan terhadap PMKS tempatan, terutamanya dalam sektor perdagangan, peruncitan, perabot, besi dan keluli, barangan pengguna tahan lama, dan e-dagang, dengan keuntungan sememangnya sudah tipis,” katanya.

Oleh itu, ACCCIM mencadangkan pendekatan pelbagai aspek bagi membendung aktiviti penjenamaan semula produk.

Antara cadangan yang dikemukakan ialah penambahbaikan pemeriksaan dan penguatkuasaan kastam melalui penilaian berasaskan risiko serta pemeriksaan terfokus ke atas sektor atau produk yang mempunyai perbezaan tarif yang ketara, kata Ng.

Pendekatan ini turut mencakupi keperluan pengesahan dan pematuhan yang lebih ketat terhadap Sijil Asal dan Peraturan Asal (Certificate of Origin dan Rules of Origin) bagi mencegah aktiviti sedemikian di pelabuhan.

Tempoh sekurang-kurang enam bulan dicadangkan diberikan kepada para peniaga untuk membuat persiapan sebelum pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Kami menggesa kerajaan perlu menangguhkan sebarang perubahan dasar domestik yang boleh menambah tekanan kos kepada perniagaan serta menjejaskan sentimen perniagaan dan pengguna.

“Ini termasuk rasionalisasi subsidi RON95, cadangan kenaikan tarif elektrik, dan pengenalan levi berperingkat pelbagai kadar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan