JENAYAH & MAHKAMAH

Kes SRC: AGC Mohon Lanjutan Sebulan Untuk Putuskan Representasi Najib

06/05/2025 11:54 AM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) masih belum membuat keputusan berhubung representasi Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggugurkan tiga pertuduhan tambahan pengubahan wang haram yang melibatkan dana RM27 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Semasa prosiding pengurusan kes, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan kepada Hakim K. Muniandy bahawa representasi itu, masih belum diputuskan dan memohon lanjutan masa selama sebulan untuk memaklumkan kepada mahkamah keputusannya.

Sementara itu, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon agar mahkamah memberikan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) kepada anak guamnya, dengan mengambil kira bahawa representasi itu telah difailkan hampir dua tahun lepas.

“Representasi itu telah difailkan pada Julai 2023, namun kami masih belum menerima sebarang maklum balas daripada AGC. Kami memohon mahkamah untuk membuat keputusan kerana perkara ini telah tertangguh selama dua tahun.

“Kami memohon agar kes ini digugurkan. Jika pihak pendakwaan ingin mendakwanya semula pada masa akan datang, itu adalah hak mereka,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Jun untuk pihak pendakwaan mengemukakan perkembangan terkini berhubung perkara tersebut.

Pada 3 Feb 2019, Najib, 71, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya, di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan mengikut  Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan