EKONOMI

Pasaran Kewangan Tempatan Kekal Berdaya Tahan Di Sebalik Ketidaktentuan Global - BNM

06/05/2025 03:00 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Pasaran kewangan domestik kekal berdaya tahan dan terus menjadi pengantara dengan berkesan di sebalik ketidaktententuan global, kata Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) Bank Negara Malaysia (BNM).

FMC telah bermesyuarat pada 28 April lepas untuk membincangkan perkembangan terkini dalam pasaran kewangan domestik.

Jawatankuasa itu dalam kenyataan hari ini berkata ringgit telah meningkat sebanyak 2.3 peratus setakat ini sejak awal tahun berbanding dolar US bersama kebanyakan mata wang serantau, kebanyakannya didorong oleh kelemahan dolar secara meluas.

Di pasaran saham domestik (FBM KLCI) pada awalnya mencatatkan penurunan sebanyak 8.2 peratus berikutan pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat (AS), seiring berlaku penurunan dalam ekuiti global, bagaimanapun kerugian telah berkurangan sejurus selepas tarif ditangguhkan kepada hampir 1.1 peratus lebih rendah pada 25 April berbanding 2 April.

FMC berkata mudah tunai pasaran pertukaran asing domestik kekal tinggi dengan purata perolehan harian sebanyak US$18.8 bilion setakat ini sejak awal tahun dan pertumbuhan tahun ke tahun yang kukuh sebanyak 6.8 peratus membolehkan syarikat korporat tempatan memenuhi keperluan pertukaran asing mereka. 

Pasaran bon domestik terus menarik permintaan yang kukuh dengan nisbah bida kepada tawaran lelongan bon kerajaan berpurata pada 3.01 setakat ini sejak awal tahun (2024: 2.56).

“Mudah tunai dalam pasaran sekunder bertambah baik dengan jumlah dagangan harian purata sebanyak RM7.3 bilion pada 2025 (2024: RM4.6 bilion) dan mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak RM15.5 bilion,” katanya.

Dari segi pembangunan pasaran, FMC berpandangan positif terhadap pertumbuhan pasaran kewangan Islam di Malaysia terutamanya pembangunan pasaran sukuk pelbagai dan memberangsangkan. 

“Apa yang ketara, kepentingan pasaran Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) telah berkembang sejak beberapa tahun lepas dan kini setanding dengan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) konvensional dari segi saiz dan mudah tunai.

“MGII kini mencakupi 48 peratus daripada bon kerajaan terkumpul dan 47 peratus daripada jumlah dagangan bon kerajaan pada 2025. Pengembangan ini seiring dengan peningkatan kesedaran dan penerimaan sukuk sebagai kelas aset oleh komuniti pelaburan global,” katanya.

FMC menyambut baik usaha berterusan oleh BNM untuk menerajui kemajuan MGII selanjutnya dengan memberikan tumpuan pada inisiatif untuk meningkatkan akses, mudah tunai dan kebolehlihatan MGII.

Pengerusi FMC dan Timbalan Gabenor BNM Adnan Zaylani berkata: “Pasaran kewangan Malaysia kekal teratur meskipun terdapat tekanan luaran yang tidak menentu. 

“Keadaan ini membolehkan kami menumpukan usaha pada inisiatif pembangunan yang akan menambah baik lagi pengalaman pelabur dalam pasaran Malaysia. Bagaimanapun, kami tetap berwaspada berikutan situasi tarif berubah-ubah dengan pantas,” kata Adnan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan