EKONOMI

Untung Bersih Hartalega Melonjak Kepada RM74.54 Juta Bagi Tahun Kewangan 2025

06/05/2025 04:48 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Untung bersih Hartalega Holdings Bhd (Hartalega) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2025 (TK2025) melonjak kepada RM74.54 juta daripada RM12.50 juta pada TK2024, manakala perolehan meningkat kepada RM2.59 bilion daripada RM1.84 bilion sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pembuat sarung tangan itu berkata peningkatan ketara sebanyak RM747 juta atau 41 peratus dalam perolehan terutamanya didorong oleh kenaikan 40 peratus dalam nilai jualan.

Kumpulan itu berkata sektor sarung tangan getah dijangka meneruskan momentum pemulihan pada 2025, didorong oleh gabungan pelbagai faktor termasuk permintaan kembali normal secara beransur-ansur, selain perubahan dalam dinamik geopolitik dan perdagangan.

“Aktiviti pesanan awal yang bermula sejak tahun lepas, berkemungkinan menyokong arah aliran permintaan yang bertambah baik bagi tahun tersebut.

“Persaingan geopolitik yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat (AS) dan China, mengubah lanskap perdagangan dan membawa peralihan import sarung tangan getah dari China, mungkin menjadi pemangkin positif bagi pengeluar di Malaysia untuk menguasai semula bahagian pasaran di AS,” katanya.

Bagaimanapun, kumpulan itu berkata pemulihan sektor tersebut perlu terus berdepan dengan cabaran tertentu.

“Susulan pelaksanaan tarif AS terhadap import sarung tangan getah, pasaran AS akan lebih mencabar dalam tempoh jangka pendek dan sederhana.

“Pasaran berdaya saing tinggi akan terus memberi tekanan ke atas purata harga jualan, lebih-lebih lagi dengan permintaan yang lemah di AS bagi separuh pertama 2025 berikutan aktiviti pemuatan hadapan yang lebih awal,” katanya.

Menurut Hartalega, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, prospek jangka panjang industri sarung tangan getah kekal positif.

Pada suku keempat TK2025, keuntungan bersih susut kepada RM14.48 juta daripada RM14.90 juta pada suku keempat 2024, manakala perolehan naik kepada RM611.55 juta daripada RM530.34 juta sebelumnya, terutamanya didorong oleh kenaikan sembilan peratus dalam nilai jualan dan kenaikan enam peratus dalam purata harga jualan.

Dalam satu kenyataan berasingan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kuan Mun Leong berkata kumpulan itu akan terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kecekapan pengeluaran keseluruhan dan mengoptimumkan operasi menerusi inisiatif automasi dan pendigitalan yang berterusan.

“Kami juga perlu meningkatkan jualan apabila persaingan semakin sengit. Dengan rangka kerja tadbir urus alam sekitar, korporat dan sosial yang teguh, serta komitmen yang jelas terhadap pematuhan sosial, kami komited untuk membina masa depan yang lebih berdaya tahan dan mampan bagi kumpulan ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan