TAWAU, 8 Mei (Bernama) -- Pusat Media Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah mula dibuka esok untuk memudahkan liputan pengamal media bersempena dengan program berkenaan yang akan berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Tawau selama tiga hari hingga Ahad ini.
Ketua Komunikasi Korporat Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Hartini Hashim berkata pusat media dilengkapi dengan kemudahan Internet dan ruang kerja selesa itu beroperasi sepanjang tempoh program dari 9 pagi hingga 9 malam.
Beliau berkata pengamal media boleh mendaftar di pusat berkenaan untuk mendapatkan pas media khas program itu seterusnya menggunakan kemudahan berkenaan.
"Kami telah menyediakan ruang kerja yang kondusif dengan kemudahan Internet dan keperluan asas untuk memastikan pengamal media dapat menjalankan tugas dengan lancar," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
PMR ialah usaha kerajaan menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik KUSKOP selaku kementerian peneraju dan kerajaan Sabah sebagai tuan rumah untuk membawa perkhidmatan secara langsung kepada rakyat.
Tema "Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan" menjadi landasan utama PMR 2025 Sabah kerana ia mencerminkan komitmen kerajaan dalam menangani kemiskinan tegar secara mampan melalui pendekatan yang mendayai rakyat.
Hartini berkata pengamal media yang mempunyai Kad Perakuan Media daripada Jabatan Penerangan Malaysia boleh menggunakannya untuk membuat liputan di sekitar kawasan program.
"Kami mengalu-alukan kehadiran pengamal media untuk membuat liputan sepanjang program ini berlangsung kerana ia merupakan platform penting bagi kerajaan menyampaikan maklumat kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata sebarang pertanyaan lanjut mengenai kemudahan media boleh menghubungi beliau menerusi talian 012-9307504 atau Dr Diana Dominic (019-8516868) yang bertugas sepanjang program berlangsung.
"Pengamal media juga diminta untuk menjaga kebersihan pusat media demi keselesaan bersama," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial