AM

Kuala Lumpur Akan Diletakkan Antara Bandar Peneraju Davos Baukultur Alliance

09/05/2025 12:07 AM

LABUAN, 8 Mei (Bernama) -- Kuala Lumpur akan diletakkan sebagai satu daripada bandar peneraju Davos Baukultur Alliance, satu inisiatif antarabangsa yang bermatlamat mempromosikan pembangunan budaya dan seni bina berkualiti tinggi di kawasan bandar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa memaklumkan perkara berkenaan menerusi kenyataan kepada Bernama malam ini.

“Selesai tugas saya di Milan, Itali dan kini dalam perjalanan menaiki kereta api laju dari Milan ke Venice. Perjalanan ini mengambil masa kurang lebih 2 jam 30 minit dengan jarak 245 kilometer. Sambil dalam perjalanan ini, saya manfaatkan masa yang ada untuk membuat persediaan bagi acara seterusnya.

“Di Venice nanti, saya akan menyampaikan ucapan komitmen di Davos Baukultur Alliance, Biennale Architettura 2025 Public Programme, iaitu kita akan meletakkan Kuala Lumpur sebagai satu daripada Pioneering Places,” katanya.

Dr Zaliha berkata dalam ucapan nanti, beliau akan menyebut tentang kerangka Bandar CHASE iaitu Clean City, Healthy City, Advanced City, Safe City dan Eco-Friendly City yang sedang dilaksanakan di Wilayah Persekutuan pada masa ini dan bagaimana Bandar CHASE boleh menerima pakai prinsip Baukultur.

Kerangka berkenaan bertujuan menerapkan prinsip Baukultur, yang mengutamakan nilai budaya dalam pembangunan dan perancangan bandar.

Beliau berkata Kuala Lumpur akan menjadi antara bandar di Asia yang akan berada dalam Davos Baukultur Alliance dan juga menerima pakai prinsip terbabit.

Davos Baukultur Alliance yang dilancarkan pada 2023 menghimpunkan pihak berkepentingan daripada bidang politik, sektor swasta dan masyarakat awam untuk mempertingkatkan perancangan bandar, desa serta landskap.

Ia berasaskan Deklarasi Davos, yang menekankan pembinaan adalah sebahagian daripada budaya dan turut mewujudkan ruang untuk budaya.

Dr Zaliha berkata beliau turut dijadualkan mengadakan pertemuan bilateral dengan Ketua Jabatan Persekutuan Hal Ehwal Dalam Negeri Switzerland Baume-Schneider untuk membincangkan ruang kerjasama yang akan memanfaatkan kedua-dua negara khususnya dalam bidang pembangunan bandar dan pertukaran budaya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan