AM

Sultan Perak Perkenan Belia Baca Khutbah Jumaat Esok

08/05/2025 07:29 PM

IPOH, 8 Mei (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah memperkenankan golongan belia diberi penghormatan membaca khutbah Jumaat di masjid seluruh negeri esok bersempena sambutan Hari Belia Negara pada 15 Mei ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata Sultan Nazrin juga menitahkan khutbah Jumaat di Perak esok bertemakan 'Belia Berkeyakinan: Memenuhi Wawasan Dunia Akhirat'. 

“Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Perak telah mengemukakan 81 nama pemimpin belia kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk mendapat sembah perkenan Sultan Perak bagi membaca khutbah di 81 masjid,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Annuar berkata pentadbir masjid dinasihatkan agar mematuhi titah tersebut dan tindakan sewajarnya boleh diambil sekiranya terdapat pihak yang ingkar.  

Beliau juga berkata isu pentadbir masjid menghalang khatib yang telah diperkenankan daripada menyampaikan khutbah tidak seharusnya berlaku kerana belia terlibat mempunyai latar belakang agama termasuk ahli dalam bidang masing-masing. 

“Ada dalam kalangan mereka mempunyai latar belakang kelulusan agama, seorang hafiz atau lulusan universiti pengajian Islam serta berupaya menyampaikan khutbah khusus berkaitan bidang masing-masing. Ini merupakan penghormatan kepada mereka. 

“Seharusnya mereka (pentadbir masjid) gembira kerana ramai dalam kalangan masyarakat Islam berupaya menyampaikan khutbah khususnya golongan anak muda,” katanya. 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan