AM

Pasaran Buruh Malaysia Kekal Meningkat Pada Suku Pertama Tahun 2025 - DOSM

09/05/2025 07:16 PM

PUTRAJAYA, 9 Mei (Bernama) -- Pasaran buruh Malaysia terus mencatatkan kemajuan stabil pada suku pertama 2025 dengan petunjuk utama menunjukkan peningkatan bilangan penduduk bekerja dan kadar penyertaan tenaga buruh manakala kadar pengangguran menurun. 

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bilangan tenaga buruh menunjukkan peningkatan sebanyak 0.8 peratus kepada 17.23 juta orang bagi tempoh Januari hingga Mac berbanding 17.10 juta orang pada suku keempat 2024. 

“Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) meningkat sedikit sebanyak 0.1 peratus kepada 70.7 peratus berbanding 70.6 peratus pada suku sebelumnya,” menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata selaras dengan trend itu, bilangan penduduk bekerja bertambah sebanyak 0.9 peratus kepada 16.70 juta orang sementara bilangan penganggur menurun 2.3 peratus kepada 526,300 orang berbanding 538,700 orang pada suku sebelumnya.

Kadar pengangguran pula berkurangan kepada 3.1 peratus daripada 3.2 peratus sebelumnya. 

Mohd Uzir berkata bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu mencatatkan pengurangan sebanyak 5.9 peratus kepada 242,700 orang manakala mereka dengan tempoh masa sama dan sedia menerima tambahan jam bekerja turun sebanyak 3.8 peratus kepada 146,900 orang. 

Bagaimanapun, beliau berkata guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran, merujuk kepada individu berpendidikan tertiari namun bekerja dalam kategori pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah, meningkat sebanyak 0.4 peratus kepada 1.95 juta orang dengan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran sebanyak 35.7 peratus. 

Pada peringkat negeri, Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan kadar pengangguran terendah iaitu 1.8 peratus diikuti Melaka dan Pahang (masing-masing 1.9 peratus) serta Selangor (2.2 peratus).

Selangor juga mencatatkan KPTB tertinggi pada 77.9 peratus disusuli Putrajaya (77.6 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (75.4 peratus). 

Menyentuh data bulanan, Mohd Uzir berkata bilangan penganggur pada Mac 2025 berkurangan kepada 529,600 orang berbanding 532,800 orang pada Februari, menjadikan kadar pengangguran bulanan sebanyak 3.1 peratus. 

“Kedudukan ekonomi yang optimistik pada Mac 2025 membolehkan pasaran buruh negara terus berkembang dengan stabil,” katanya sambil menambah bilangan tenaga buruh pada Mac terus meningkat sebanyak 0.2 peratus mencatatkan 17.31 juta orang berbanding 17.27 juta orang pada Februari.

Beliau berkata prestasi ekonomi negara pada suku pertama 2025 menunjukkan pertumbuhan yang kukuh didorong beberapa faktor utama seperti peningkatan pelaburan, kestabilan pasaran buruh dan pemerkasaan  sektor eksport. 

Mohd Uzir berkata perkembangan ini mencerminkan keyakinan berterusan terhadap pasaran tenaga buruh, disokong oleh peningkatan kadar bilangan penduduk bekerja dan penyertaan tenaga buruh.

“Pasaran buruh dijangka terus berkembang berikutan permintaan tenaga buruh yang kukuh menjelang bulan seterusnya ditambah dengan beberapa langkah strategik untuk memastikan kestabilan pasaran itu,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan