EKONOMI

Indeks Harga Pasir Meningkat Sehingga 3.8 Peratus Pada April - DOSM

09/05/2025 03:11 PM

PUTRAJAYA, 9 Mei (Bernama) -- Indeks harga pasir mencatatkan peningkatan iaitu antara 0.1 peratus hingga 3.8 peratus bagi kebanyakan kawasan di Malaysia pada April 2025 berbanding bulan lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan tertinggi bagi indeks harga bahan ini telah direkodkan di Pahang (3.8 peratus), diikuti dengan Perak (2.9 peratus), Johor dan Kuching (masing-masing pada 1.6 peratus).

“Selain daripada itu, harga besi telah menunjukkan penurunan iaitu antara 0.1 peratus hingga 3.4 peratus pada April 2025 berbanding bulan lepas, dengan penurunan tertinggi dicatatkan di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dan Kota Kinabalu (masing-masing -3.4 peratus), diikuti Pahang (-0.8 peratus) dan Kuching (-0.6 peratus).

“Indeks harga seunit bahan ini juga telah mencatatkan penurunan sejak empat bulan berturut-turut,” katanya dalam kenyataan mengenai Siaran Khas-Untuk Kerja-kerja Pembinaan Bangunan dan Struktur, April 2025 yang dikeluarkan DOSM hari ini.

Beliau berkata indeks seunit keratan keluli dan logam juga mencatatkan penurunan kecil iaitu antara 0.1 peratus hingga 2.6 peratus bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada April 2025 berbanding bulan lepas.

Penurunan tertinggi bagi indeks harga seunit bahan ini telah direkodkan di Perak (-2.6 peratus), katanya.

Mohd Uzir berkata indeks harga simen kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Namun begitu, penurunan kecil bagi indeks harga seunit bahan ini telah direkodkan bagi beberapa kawasan iaitu di Sandakan (-1.3 peratus), diikuti dengan Perak dan Kuching (masing-masing -0.2 peratus),” katanya.

Beliau berkata purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 “high tensile deformed bars” merekodkan penurunan kecil (-0.4 peratus) dengan purata harga RM3,490.80 bagi setiap tan berbanding bulan sebelumnya (Mac 2025: RM3,505.30 satu tan).

Tren penurunan harga bahan ini adalah sejajar dengan penyusutan harga komoditi besi dan bijih besi di pasaran antarabangsa, katanya.

Manakala, purata harga bagi simen Ordinary Portland pula telah mencatatkan peningkatan kecil (0.2 peratus) dengan purata harga RM23.70 per 50 kilogram berbanding Mac 2025 (RM23.65 per 50 kilogram sekarung, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan