JOHOR BAHRU, 9 Mei (Bernama) – The Oryx Stainless Group (Oryx), salah satu pembekal bahan keluli tahan karat kitar semula terkemuka dari Belanda telah membuka kemudahan terbarunya di Johor.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata kemudahan itu akan memperkukuhkan kedudukan rantau ini sebagai hab strategik bagi pertumbuhan perindustrian yang mampan.
“Kemudahan baharu Oryx Stainless Group di Johor ini mencerminkan bagaimana kepakaran antarabangsa dapat mengubah landskap pembuatan kita.
“Sebagai nama yang dihormati dalam keluli tahan karat kitar semula, Oryx Stainless mengukuhkan keupayaan perindustrian Johor serta kedudukan Malaysia dalam ekonomi kitaran global,” katanya dalam satu kenyataan.
Sikh Shamsul Ibrahim berkata Malaysia, di bawah kerajaan MADANI, telah melaksanakan dasar-dasar khusus untuk memajukan pembangunan perindustrian yang mampan, sambil menambah bahawa pihak berkuasa secara aktif amat menyokong pelaburan yang menggabungkan inovasi dengan kesan alam sekitar yang boleh diukur, terutamanya yang mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Pembangunan kemudahan itu bertepatan dengan matlamat alam sekitar Malaysia, yang menyokong sasaran kebangsaan dalam pengurangan intensiti karbon 45 peratus setiap keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2030 dan membantu menarik RM300 bilion melalui pelaburan hijau.
“Dengan setiap tan bahan kitar semula mampu menjimatkan sehingga 8.5 tan pelepasan karbon, impak tahunan kemudahan itu mampu menghampiri 1 juta tan dalam pengurangan pelepasan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam kenyataan yang sama melahirkan rasa bangga selepas negeri tersebut kini menjadi hos kepada kemudahan contoh yang menunjukkan bagaimana tindakan iklim, kecemerlangan perindustrian dan pembangunan ekonomi dapat berjalan dengan baik.
“Dengan Oryx Stainless, negeri ini mengalu-alukan bukan sahaja peneraju antarabangsa dalam industri hijau tetapi rakan kongsi yang benar dalam perjalanan kita ke arah kemakmuran yang mampan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Pegawai Oryx Stainless Holding, Tobias Kammer berkata Malaysia merupakan kunci kepada strategi mereka dalam mendekatkan pengeluaran bahan mentah keluli jejak karbon yang rendah tetapi bermutu tinggi di Asia.
“Pelaburan di Johor bukan sekadar keputusan perniagaan, ia adalah komitmen untuk kerjasama jangka panjang, pertumbuhan hijau dan kemakmuran bersama. Syarikat amat berbangga dapat menyumbang kepada visi Malaysia untuk menjadi pemimpin global dalam transformasi perindustrian yang mampan,” katanya.
Pengasas bersama dan Pengerusi Lembaga Penyeliaan Oryx Stainless Group, Michael Pawlowski menambah Oryx memiliki kepakaran dalam mewujudkan campuran tepat bahan mentah yang dikitar semula untuk pelbagai keluli tahan karat, menangani keperluan lebih daripada 150 aloi yang berbeza.
“Industri dengan kadar kitar semula keluli tahan karat yang tinggi masih kecil. Keluli tahan karat baharu, tanpa kehilangan kualiti, boleh dihasilkan dari sehingga 90 peratus bahan yang diproses di tapak baharu ini,” katanya.
Beliau berkata pembangunan bakat tempatan menjadi penting kepada misi kemudahan baharu syarikat itu memandangkan pekerja Malaysia telah menyelesaikan latihan lanjutan di Thailand, belajar mengendalikan peralatan khusus termasuk pengendali bahan “Sennebogen” yang pertama di Malaysia.
Apabila fasa pertama bermula, kemudahan itu akan memproses 150,000 tan keluli tahan karat setiap tahun, menandakan langkah penting dalam pemuliharaan sumber serantau dan pembuatan mampan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial