IPOH, 10 Mei (Bernama) -- Calon Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar memulakan kempen sempena pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sesi 2025-2028 dengan mendekati akar umbi di Perak hari ini.
Program Temu Rapat Akar Umbi Bersama Nurul Izzah itu dihadiri lebih 1,000 ahli PKR yang terdiri daripada sayap pimpinan wanita, Angkatan Muda Keadilan dan ketua cabang negeri.
Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR dalam ucapannya berkata keputusannya untuk bertanding jawatan nombor dua parti itu pada pemilihan kali ini adalah untuk menyatukan hati seluruh anggota parti menerusi peranan (sayap) wanita.
“Semua tahu kita ini (wanita) selalu jadi peranan penyokong. Kita jarang main heroin, tapi kali ini saya ambil keputusan ini parti saya, saya sayangkan perjuangan ini.
“Saya nak pastikan kuasa wanita untuk menyatukan hati-hati semua penyokong parti, kita nak pastikan jangan kita dikesampingkan," katanya.
Proses pencalonan pemilihan parti itu yang berakhir semalam menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dicabar bagi jawatan Presiden manakala bagi jawatan Timbalan Presiden, Nurul Izzah bakal bertembung dengan penyandang Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga Menteri Ekonomi.
Bagi jawatan Naib Presiden pula, 12 ahli telah mengemukakan pencalonan masing-masing termasuk empat penyandangnya iaitu Nik Nazmi Nik Mat (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam), Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Seri Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan) dan Datuk Seri Amirudin Shari (Menteri Besar Selangor).
Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim pula merupakan calon tunggal bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) manakala Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan) dan Rodziah Ismail (Ahli Parlimen Ampang) berebut jawatan Ketua Wanita PKR.
Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Kongres Wanita dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru dengan 23 Mei ditetapkan sebagai hari pengundian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial