AM

KPM Wujudkan ProKhas Perluas Akses Pendidikan Di Kampung Serudung Laut - Fadhlina

10/05/2025 12:17 PM

KALABAKAN, 10 Mei (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) mewujudkan program khas dinamakan ProKhas di Kampung Serudung Laut di sini sebagai inisiatif memperluas akses pendidikan kepada anak-anak di kawasan pedalaman.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata program itu diwujudkan khusus untuk penduduk di kawasan yang memerlukan kira-kira dua jam perjalanan menaiki bot dari bandar Tawau bagi memastikan tiada keciciran dalam kalangan pelajar.

“Kita (KPM) mengenal pasti terdapat sekumpulan anak-anak di Kampung Serudung Laut yang memerlukan akses kepada pendidikan. Maka, pertemuan dengan ibu bapa dan komuniti telah diadakan bagi memberi jaminan bahawa isu ini akan diselesaikan.

“Kita bersetuju mewujudkan ProKhas untuk anak-anak di kampung ini yang merangkumi penyediaan kelas, guru dan segala bantuan persekolahan penting,” katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja dua hari Program Tindak Susul Parlimen yang bermula Khamis.

Fadhlina turut ditemani Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Azman Adnan, Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Raisin Saidin dan Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy dalam lawatan tersebut, yang melibatkan perjalanan laut dari bandar Tawau ke Kampung Serudung Laut bagi meninjau sendiri keperluan akses pendidikan di kawasan itu.

Semasa di kampung itu, Fadhlina turut meninjau sebuah kelas tidak formal di bawah projek Jabatan Kebajikan Am Masyarakat yang ketika ini menempatkan lima murid serta seorang tenaga pengajar.

Beliau berkata pelaksanaan ProKhas akan membolehkan KPM menilai keupayaan anak-anak di kampung itu terlebih dahulu, memandangkan ada antara mereka pernah mengikuti pembelajaran secara tidak formal, manakala sebahagiannya langsung tidak berpeluang bersekolah.

“Saya sebenarnya sangat bahagia melihat adanya ruang untuk kita (KPM) memperbaiki akses pendidikan di sini. KPM memberi jaminan bahawa tiada anak yang akan terpinggir daripada mendapat pendidikan,” tegasnya.

Menurut Fadhlina, pelaksanaan seterusnya akan dikendalikan oleh Pejabat Pendidikan Daerah serta Jabatan Pendidikan Negeri dengan pemantauan berterusan oleh KPM bagi memastikan hak pendidikan anak-anak kampung itu terus terpelihara.

Sementara itu, Ketua Kampung Serudung Laut Ronny Akai berkata Jabatan Kebajikan Am Masyarakat telah mewujudkan satu kelas di bangunan kayu gereja di kampung tersebut sejak sebulan lalu, di bawah program pusat perkembangan kanak-kanak.

“Gereja ini dibina pada 1988 dan sekolah misi oleh Gereja Baptis Tawau pernah dijalankan di sini bermula 1989 sebelum ditutup pada 2000 kerana kekurangan guru sukarelawan. Ia diaktifkan semula pada 2005 hingga 2021 dan pernah menempatkan 40 murid.

“Namun pada 2020, jumlah murid mula berkurangan apabila ramai ibu bapa berpindah ke bandar Tawau untuk bekerja dan membawa anak-anak mereka mendapatkan akses pendidikan yang lebih baik,” katanya.

Ronny berkata bagi keluarga yang tidak mampu berpindah ke bandar, anak-anak mereka hanya belajar sendiri daripada individu di kampung yang tahu membaca dan menulis.

“Ada anak-anak yang mengambil inisiatif sendiri untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai calon persendirian.

“Harapan saya ialah agar anak-anak di kampung ini dapat menikmati akses pendidikan yang lebih baik demi masa depan yang cerah. Pendidikan adalah kunci mengubah kehidupan. Terima kasih kepada menteri, KPM dan kerajaan atas usaha ini,” katanya.

Ronny berkata Kampung Serudung Laut mempunyai seramai 665 penduduk, dengan akses melalui jalan laut mengambil masa sehingga tiga jam bergantung kepada jenis enjin bot, manakala laluan darat dari Tawau boleh memakan masa kira-kira empat jam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan