AM

Perodua Jamin Ciri Keselamatan Tinggi Dalam Pembangunan Kereta EV Pertama

12/05/2025 02:53 PM

SERDANG, 12 Mei (Bernama) -- Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menegaskan bahawa aspek keselamatan menjadi keutamaan dalam pembangunan kenderaan elektrik (EV) pertamanya, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad.

Beliau berkata Perodua komited memastikan EV yang dijangka diperkenalkan hujung tahun ini mematuhi piawaian keselamatan yang ketat bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Katanya prinsip "keselamatan diutamakan" diterapkan secara menyeluruh dalam setiap peringkat pembangunan produk Perodua, merangkumi aspek keselamatan produk, kilang serta pekerja.

“Insya-Allah, kita harap kenderaan yang akan dilancarkan nanti memenuhi piawaian keselamatan tertentu yang telah ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Pelabelan Kenderaan Generasi Baharu Sukarela (NxGV) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas insiden melibatkan sebuah kereta EV jenama antarabangsa yang dilaporkan berhenti secara mengejut di lebuh raya, baru-baru ini.

Sebelum ini, media melaporkan sebuah keluarga berdepan detik cemas apabila kereta elektrik yang dinaiki mereka tiba-tiba membrek secara mengejut ketika dipandu di lorong kanan Lebuh Raya Cheras-Kajang pada 1 Mei lepas.

Pada 8 Mei lepas, Zainal Abidin berkata Perodua menyasarkan untuk memuktamadkan pengeluaran EV pertamanya pada Oktober, dengan pelan pemasaran menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata pada peringkat awal, EV berkenaan akan mempunyai lebih 30 peratus kandungan pemasangan tempatan, yang dihasilkan di kilang baharu Perodua di Rawang, Selangor, dengan anggaran harga di bawah RM80,000.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan