KUCHING, 13 Mei (Bernama) -- Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) Borneo 2025 dilancarkan secara rasmi hari ini di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching, menandakan pencapaian utama Malaysia Timur dan rantau ASEAN ketika Malaysia bakal memegang peranan sebagai Pengerusi ASEAN.
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), selaku penganjur acara selama dua hari ini bersama rakan strategik Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd, berkata ICW Borneo 2025 merupakan platform strategik untuk memajukan pembinaan mampan, menggalakkan inovasi tenaga hijau serta mempercepat transformasi digital dalam sektor binaan.
"Ia menghimpunkan penggubal dasar, peneraju industri, ahli akademik dan inovator untuk merangka agenda pembinaan masa depan yang selaras dengan Visi ASEAN 2045,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Diadakan serentak dengan sidang kemuncak BuildXpo, pameran perdagangan rasmi ICW, yang menampilkan 32 peserta pameran tempatan dan antarabangsa di 55 buah reruai, dengan mempamerkan teknologi terkini, sistem bangunan pintar dan bahan binaan mampan.
Antara peserta pameran termasuk CIDB IBS, Pihak Berkuasa Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), American Welding Society, Microleap, Cahya Mata Cement Sdn Bhd dan Serendah Steel Manufacturing Sdn Bhd.
Beberapa persidangan dan bengkel khas turut diadakan sepanjang program, termasuk Seminar Revolusi Pembinaan (CR4.0), Program Pengurus Pembinaan, Program Pengurus Projek Pembinaan serta Akreditasi Pengurusan Fasiliti.
“Pada 15 Mei, lawatan teknikal akan membawa peserta ke kemudahan infrastruktur dan tenaga utama di Sarawak, termasuk Loji Janakuasa Sejingkat, Loji Pengeluaran dan Stesen Isian Semula Hidrogen, serta Stesen Pelbagai Bahan Api Petros Darul Hana,” kata kenyataan itu.
Ketua Eksekutif CIDB Zainora Zainal berkata acara ini menghimpunkan idea-idea terbaik dan organisasi paling progresif di rantau ini untuk memacu agenda Pembinaan 4.0, mengukuhkan kerjasama rentas sempadan dan menyokong pertumbuhan mampan serta inklusif dalam persekitaran pembinaan ASEAN.
Beliau berkata sebagai acara ICW pertama diadakan di Malaysia Timur, ia bukan sahaja pembuka tirai edisi ke-27 ICW dan BuildXpo yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Oktober nanti, malah mengiktiraf peranan Malaysia Timur sebagai hab pembangunan lestari dan kerjasama serantau dalam sektor pembinaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial