AM

Anwar Bangkitkan Isu MH17 Semasa Bertemu Putin

15/05/2025 01:46 AM

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail

MOSCOW, 15 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membangkitkan isu mengenai insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014 semasa  pertemuan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin hari ini.

Anwar perkara itu dibangkitkan semasa rundingan dua hala beliau dengan Presiden Rusia itu  di Kremlin di sini sebagai mewakili keluarga mangsa yang terjejas akibat insiden tersebut

"Tentunya saya sebagai mewakili rakyat Malaysia, terutama keluarga mangsa, mengambil kesempatan untuk membangkitkan isu tersebut kepada Presiden Vladimir Putin semasa mengadakan rundingan dua hala," katanya kepada media Malaysia yang mengikuti lawatan rasmi beliau ke Rusia di sini malam ini. 

Beliau diminta mengulas mengenai perkembangan terkini berhubung penemuan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bahawa Rusia bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 di Ukraine pada 2014.

Menurut laporan ICAO, pesawat itu dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh oleh peluru berpandu Rusia semasa terbang melintasi timur Ukraine, ketika berlakunya pertempuran antara kumpulan pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine.

Perdana Menteri berkata Putin mendengar dengan meneliti perkara yang dibangkitkan sebelum menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Anwar berkata Presiden Rusia itu menegaskan bahawa beliau telah menuntut supaya siasatan rapi dan menyeluruh dijalankan selain isu tersebut tidak dipolitikkan. 

 Putin berkata sejak awal lagi Moscow memohon supaya siasatan berhubung perkara itu harus bebas dan teliti selain menegaskan bahawa Rusia sedia memberikan kerjasama untuk mempastikan laporan tersebut lebih berwibawa.

Anwar berkata beliau akan menjelaskan kepada keluarga mangsa berhubung maklum balas yang diberikan oleh Putin.

"Cuma yang saya dapat pastikan ialah beliau kata tidak benar kalau beliau tidak sedia untuk memberikan kerjasama tetapi beliau tidak mahu bekerjasama dengan mana-mana badan yang beliau atau Rusia anggap sebagai tidak bebas," katanya.

Pada Isnin, ICAO, sebuah majlis penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, memutuskan bahawa Rusia bertanggungjawab dalam insiden yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat malang itu.

Menurut laporan itu, ICAO akan mempertimbang bentuk pampasan yang sesuai dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Pada November 2022, Mahkamah Belanda mensabitkan dua lelaki warga Rusia dan seorang lelaki warga Ukraine secara ‘in absentia’ dengan kesalahan membunuh kerana peranan mereka dalam serangan itu.

Anwar tiba di Moscow untuk lawatan rasmi empat hari bermula 13 Mei dan beliau akan meneruskan segmen kedua lawatan dengan berkunjung ke Kazan, Tatarstan pada 15 Mei.

Lawatan itu adalah atas undangan Putin.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin mengadakan mesyuarat tertutup sebelum Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menghadiri majlis makan tengah hari dan mengadakan mesyuarat bersama delegasi kedua-dua negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan