MELAKA, 16 Mei (Bernama) -- Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Duyong dengan kos kira-kira RM32 juta dilihat memberi impak besar kepada kemudahan pendidikan pelajar di kawasan Duyong dan sekitarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata sekolah baharu yang siap sepenuhnya dan mula beroperasi pada tahun lepas itu, dibina menerusi peruntukan kerajaan Persekutuan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan kemudahan pendidikan di Melaka.
"Dengan adanya SMK Seri Duyong ini, pelajar di kawasan berkenaan mempunyai pilihan berulang-alik ke sekolah yang lebih dekat sekali gus meningkatkan keselesaan dan keselamatan pelajar.
"Sekolah ini mampu menampung 900 pelajar dan pada masa ini menempatkan pelajar tingkatan satu hingga tingkatan tiga," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan cenderahati kepada kira-kira 700 guru melibatkan 31 sekolah termasuk sekolah rendah agama dan tadika dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata Program Tuisyen Percuma anjuran pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Duyong juga akan diteruskan untuk tahun ketiga bagi memberi peluang kepada pelajar meningkatkan prestasi akademik.
Beliau berkata program yang diadakan setiap Sabtu dan Ahad itu terbuka kepada semua namun terhad kepada 150 pelajar, terutamanya mereka yang bakal menduduki peperiksaan utama.
"Menerusi program ini kita menerima maklum balas positif dan kita difahamkan ada pelajar yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang 8A hasil mengikuti kelas tuisyen percuma ini secara konsisten setiap minggu," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial