Oleh Naveen Prabu Kuppusamy
KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Kesatuan Eropah (EU) masih belum menentukan sama ada Malaysia akan diklasifikasikan sebagai negara berisiko rendah di bawah sistem penanda aras yang bakal diperkenalkan menerusi Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR), kata Duta EU ke Malaysia Rafael Daerr.
Sistem penanda aras negara di bawah EUDR akan mengklasifikasikan negara-negara sebagai berisiko rendah, standard atau tinggi berdasarkan tahap penebangan hutan, bagi meminimumkan sumbangan EU terhadap penebangan hutan dan degradasi hutan global.
Senarai rasmi pertama di bawah klasifikasi itu dijangka dikeluarkan pada 30 Jun, 2025.
Sebagai pengeluar utama minyak sawit, getah, kayu balak dan koko, Malaysia mungkin berdepan sekatan perdagangan di bawah EUDR, yang mewajibkan tujuh komoditi utama – minyak sawit, getah, kayu balak, koko, penternakan lembu, soya, dan kopi; serta derivatifnya – bebas daripada penebangan hutan, mematuhi undang-undang dan disokong oleh proses ketekunan wajar.
Mengulas desakan berterusan daripada pihak berkuasa Malaysia termasuk Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk pengiktirafan sebagai negara berisiko rendah, Daerr berkata keputusan penilaian EU masih dalam perbincangan.
“Apa yang penting untuk difahami adalah, secara asasnya semua negara akan diklasifikasikan sebagai berisiko standard dan hanya negara yang mempunyai sebagai contoh, industri minyak sawit yang sangat kecil mungkin dipertimbangkan sebagai berisiko rendah kerana ia lebih mudah untuk dikawal, dikesan dan dipantau.
“Jika sesebuah negara itu kecil dan pertumbuhan industrinya sedikit atau hampir tiada, sekali gus menjadikan risiko penebangan hutan amat rendah, EU mungkin mempertimbangkan untuk mengklasifikasikannya sebagai berisiko rendah selepas penelitian yang lebih mendalam,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif.
Beliau berkata landskap Malaysia yang besar dan kompleks menimbulkan cabaran dari segi kebolehkesanan, yang mana ia kekal menjadi pertimbangan penting bagi pihak berkuasa menjalankan penilaian untuk penanda aras berkenaan.
“Ia merupakan sebuah negara yang besar dan menakjubkan dengan kawasan hutan yang luas, yang secara semula jadi menjadikan proses pengesanan dan kebolehkesanan satu cabaran.
“Kami juga menemukan data yang berbeza-beza dan dengan pelbagai negara menggunakan sistem kebolehkesanan yang berlainan, ini mungkin menjadi salah satu sebab mengapa pihak berkuasa berkaitan menganggap masih terlalu awal untuk menetapkan klasifikasi yang muktamad,” katanya.
Daerr turut menekankan bahawa pengkategorian risiko tidak mengubah keperluan EUDR.
“Ia hanyalah petunjuk kepada negara-negara anggota mengenai cara untuk mengawal kumpulan import, dan ia tidak meningkatkan atau menurunkan standard yang diperlukan untuk import tersebut,” katanya.
Kesediaan untuk pematuhan
Sektor minyak sawit Malaysia katanya, sudah berada di hadapan dari segi kesediaan untuk mematuhi peraturan EUDR.
“Dari segi sejauh mana Malaysia dapat menghasilkan minyak sawit yang mematuhi EUDR, saya berpendapat bahawa Malaysia berada di barisan hadapan dalam industri ini,” katanya.
EU buat masa kini mengimport 10 peratus minyak sawit dari Malaysia dan Daerr berkata EU terbuka untuk mengimport lebih banyak, asalkan bekalan itu mematuhi sepenuhnya peraturan EUDR.
Beliau berkata EU mengiktiraf usaha yang telah dilakukan oleh Malaysia dalam meningkatkan kemampanan sektor minyak sawit dan bersedia meningkatkan perdagangan jika standard itu terus selaras dengan keperluan EUDR.
“Minyak sawit Malaysia yang dijual ke Eropah memperoleh harga yang lebih tinggi berbanding pasaran lain kerana EU menghargai produk berkualiti tinggi dan mampan, dan pengguna kami bersedia membayar lebih untuk barangan yang dihasilkan secara bertanggungjawab dan mesra alam.
“Walaupun hanya kira-kira 10 peratus daripada minyak sawit Malaysia dieksport ke Eropah, keuntungan daripada segmen itu jauh lebih tinggi berbanding bahagian volumnya, kerana EU membayar harga premium untuk minyak sawit yang dihasilkan secara mampan,” katanya.
Beliau berkata pengeksport Malaysia terutamanya mereka yang sudah terlibat dengan pasaran EU, kebanyakannya telah bersedia untuk memenuhi keperluan peraturan berkenaan.
“Dalam pelbagai persidangan yang saya hadiri di Malaysia, tumpuannya sentiasa pada pengeluaran yang mampan selaras dengan matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya.
Dalam pada itu, Daerr turut menggesa pihak-pihak berkepentingan Malaysia untuk mempromosikan minyak sawit mampan negara dengan lebih aktif di Eropah bagi menangkis salah tanggapan yang masih berlarutan.
“Salah satu kemungkinan iaitu mengadakan kempen di Eropah bagi menunjukkan bahawa terdapat jenis minyak sawit yang berbeza yang sedang dihasilkan di sini. Masih ada ruang untuk memperbaikinya dan saya menggalakkan agar tidak terlalu bersikap defensif mengenainya,” katanya.
EUDR, yang akan berkuat kuasa mulai hujung tahun ini bagi syarikat-syarikat besar, mewajibkan pengeluar minyak sawit dan enam komoditi lain untuk memastikan produk mereka tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti penebangan hutan selepas 31 Disember, 2020.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial