JENAYAH & MAHKAMAH

KPN Sekali Lagi Peroleh Kebenaran Mulakan Prosiding Komital Terhadap Papagomo

16/05/2025 04:38 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain untuk memulakan prosiding komital ketiga terhadap penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris kerana melanggar syarat permohonan maaf yang diperintahkan oleh mahkamah sebelum ini.

Permohonan itu berhubung kes saman RM3 juta yang difailkan Razarudin selaku plaintif terhadap Wan Muhammad Azri atau dikenali sebagai Papagomo sebagai defendan atas dakwaan memfitnah yang turut membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam Raam Kumar yang mewakili Razarudin pada pendengaran permohonan ex-parte (sebelah pihak) hari ini.

"Pendengaran inter-parte bagi perintah komital ditetapkan pada 30 Jun dan kehadiran defendan adalah diwajibkan," katanya.

Pada 9 Mei lepas Gan Techiong menetapkan tarikh sama (30 Jun) untuk pendengaran permohonan komital kedua selepas membenarkan permohonan Razarudin untuk memulakan prosiding komital itu terhadap Wan Muhammad Azri kerana melanggar syarat permohonan maaf yang diperintahkan oleh mahkamah pada 30 April.

Berdasarkan notis permohonan komital ketiga yang difailkan di Mahkamah Tinggi semalam (15 Mei), Razarudin memohon perintah komital terhadap Wan Muhammad Azri kerana menghina mahkamah selepas defendan menerbitkan satu video pada 8.30 malam, 1 Mei di TikTok (Papa Azri) dan YouTube (Sir Azri).

Plaintif mendakwa penerbitan video itu menunjukkan defendan sebenarnya langsung tidak berasa kesal melanggar injunksi mahkamah.

Plaintif berkata ia juga memberi gambaran seolah-olah defendan telah berjaya memperdayakan mahkamah untuk menerima permintaan maaf olehnya pada 30 April lepas dan memberi gambaran palsu kononnya plaintif telah memohon dan berniat jahat untuk memasukkan defendan ke Penjara Sungai Buloh.

"Kenyataan yang dikeluarkan defendan dalam video tersebut adalah bertentangan dengan kenyataan bertulis dan lisan permohonan maaf yang telah dipersetujui dan dibaca di hadapan mahkamah pada 30 April seperti dalam perintah komital tersebut," kata Razarudin dalam permohonan itu.

Pada 10 Feb lepas, mahkamah memberi kebenaran kepada Razarudin untuk memulakan prosiding komital pertama terhadap Wan Muhammad Azri kerana didakwa tidak mematuhi perintah injunksi pada 10 Jan dengan membuat hantaran terhadap Razarudin di aplikasi YouTube, TikTok, X serta Telegram.

Bagaimanapun pada 30 April, Wan Muhammad Azri mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat kepada Razarudin kerana melanggar perintah injunksi itu.

Injunksi berkenaan melarang Wan Muhammad Azri atau wakilnya daripada menerbit atau menyiarkan kenyataan fitnah di semua platform media sosial yang ditujukan kepada Razarudin, sama ada dalam kapasiti rasmi sebagai KPN mahupun secara peribadi.

Ini termasuk secara bertulis, lisan, video, platform dalam talian atau aplikasi pesanan seperti WhatsApp dan Telegram.

Mahkamah turut memerintahkan Wan Muhammad Azri untuk menarik balik dan memadam video yang dimuat naik pada 14, 15, 20 dan 22 Dis 2024 di akaun YouTube, TikTok, Facebook, Telegram dan X miliknya yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap Razarudin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan