EKONOMI

Ringgit Dijangka Diniagakan Dalam Julat 4.4 Hingga 4.5 Berbanding Dolar US Menjelang Disember

16/05/2025 06:55 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- RHB Investment Bank Bhd (RHBIB) menjangkakan sekurang-kurangnya dua penurunan Kadar Dana Persekutuan (FFR) Amerika Syarikat (AS) pada September dan Disember tahun ini berbanding kes asas sebelumnya iaitu tiga kali penurunan.

RHBIB dalam nota Strategi Pasaran dan Ekonomi Global hari ini berkata ia berikutan perjanjian perdagangan AS-China dengan kedua-dua negara membatalkan beberapa tarif dan menggantung yang lain selama 90 hari pada 14 Mei lepas.

Hasil daripada nota penyelidikan itu tarif AS ke atas import China akan merosot daripada 145 kepada 30 peratus manakala tarif China ke atas beberapa import AS akan turun daripada 125 kepada 10 peratus.

China juga menghentikan dan membatalkan timbal balas bukan tarif lain seperti eksport mineral kritikal ke AS yang telah dilaksanakan sebagai tindak balas kepada ketegangan awal antara dua negara itu pada awal April lepas.

“Kedua, kami mengunjurkan Indeks Dolar AS (DXY) yang lebih kukuh menjelang akhir tahun dengan mengandaikan risiko perdagangan global dan geopolitik akan reda sepenuhnya.

"Dolar US-ringgit boleh kembali kepada paras 4.4-4.5 kepada dolar US menjelang Disember 2025.

"Ketiga, kita mungkin melihat permintaan aset selamat yang semakin berkurangan. Penurunan mendadak risiko tarif AS-China mungkin mempengaruhi permintaan aset selamat pelabur yang memberi petunjuk bahawa hasil 10 tahun AS kekal melebihi 4.40 peratus," katanya.

Bagi harga emas, memandangkan permintaan aset selamat berkurangan dan DXY lebih kukuh, mungkin bermakna harga emas cenderung menurun kepada US$3,000 setiap auns troy dalam jangka sederhana tiga hingga enam bulan.

Laporan itu berkata implikasi utama daripada ini ialah pelabur mungkin terus melihat risiko sebelum ini, menunjukkan bahawa kebimbangan sebelum ini untuk melihat kos pinjaman AS lebih tinggi sebagai pencetus kemelesetan kewangan global untuk pulih.

Implikasi lain ialah penurunan mungkin dilaksanakan berlaku pada 2025, ia akan memberi kesan kepada kadar di rantau ASEAN, penurunan FFR yang lebih sedikit akan mengukuhkan pandangan RHBIB bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) tidak berubah pada 3.0 peratus, katanya.

Ekonomi ASEAN, dalam langkah seiring dengan Rizab Persekutuan (Fed) AS seperti Bank Indonesia dan Bank of Thailand, mungkin menyaksikan penurunan kadar dasar berkurangan.

Implikasi ketiga melibatkan strategi peruntukan aset jangka pendek, ‘overweight’ pada ekuiti, ‘market-weight’ pada pendapatan tetap dan ‘underweight’ pada tunai dalam tempoh tiga bulan akan datang.

"Kesimpulannya, selera risiko mungkin pulih tetapi risiko jangka sederhana perlu juga diberi perhatian.

"Kami berhati-hati daripada bersikap terlalu yakin kerana sesetengah risiko mungkin masih wujud selepas 8 Julai, 2025 apabila penangguhan awal 90 hari tarif timbal balik tamat tempohnya," kata bank pelaburan itu.

Mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), RHBIB berkata ia mengekalkan unjuran setahun penuhnya pada 4.5 peratus pada 2025 dengan risiko menaik ke arah 4.8-5.0 peratus berikutan penurunan tarif pada separuh kedua 2025.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan