POLITIK

Rafizi Yakin Kempen Maya PKR Serasi Dengan Suara Akar Umbi

17/05/2025 01:39 AM

KOTA BHARU, 16 Mei (Bernama) -- Calon Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli yakin pendekatan kempen menerusi platform digital mampu menyampaikan mesej parti dengan lebih berkesan kepada akar umbi dan perwakilan, meskipun tempoh berkempen kali ini hanya sekitar seminggu.

Beliau berkata kekuatan PKR di media sosial sejak dahulu lagi menjadi kelebihan untuk mendekati bukan sahaja anggota parti di peringkat akar umbi, malah rakyat yang menyokong perjuangan parti.

"Setiap malam, lebih 20,000 tontonan direkodkan untuk sesi kempen maya. Ini bukan musim pilihan raya, hanya pemilihan parti, namun sambutan ini menunjukkan mesej kita sampai.

"Yang penting, mesej itu serasi dengan ‘core base’ PKR iaitu anggota biasa, perwakilan dan rakyat yang menyokong kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada Program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) Zon Kelantan dan Terengganu di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan, Tanjong Chat, di sini malam ini.

Beliau berkata sebarang dakwaan pelanggaran disiplin perlu dikemukakan mengikut saluran yang tersedia dan disiasat secara adil oleh Lembaga Disiplin parti.

Sementara itu, mengulas kenyataan Lembaga Disiplin PKR yang menggesa semua calon dan penyokong menghentikan serangan peribadi, Rafizi berkata perkara itu perlu diambil secara positif oleh semua pihak bertanding.

Beliau berkata sebarang dakwaan pelanggaran disiplin perlu dikemukakan mengikut saluran yang tersedia dan disiasat secara adil oleh Lembaga Disiplin parti.

Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Pemilihan PKR menyaksikan pertembungan satu lawan satu bagi jawatan Timbalan Presiden antara Nurul Izzah dan Datuk Seri Rafizi Ramli, manakala Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal tanpa pencabar.

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres Angkatan Muda Keadilan dan Wanita dijadual berlangsung dari 22 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru, dengan pemilihan pimpinan pusat diadakan pada 23 Mei.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan