GEORGE TOWN, 17 Mei (Bernama) -- Elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Pulau Pinang dinaikkan RM200 kepada RM1,500 berbanding RM1,300 sebulan, bermula Julai ini.
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata bagi guru besar KAFA pula, kadar elaun baharu ialah RM1,600 berbanding RM1,350 sebelum ini, iaitu kenaikan RM250.
"Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun lepas, saya telah mengumumkan satu kajian menyeluruh sedang dijalankan bagi memperkasa pendidikan KAFA di Pulau Pinang, tanda kecaknaan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan kerajaan negeri terhadap kebajikan mereka.
"Bagi menghargai guru KAFA Pulau Pinang, saya mengumumkan dua berita gembira iaitu kenaikan elaun dan para guru KAFA wanita yang dilantik pada atau selepas 1 Jan lepas serta telah diluluskan cuti bersalin layak menerima sumbangan sebanyak RM1, 100 sebulan selama dua bulan," katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Selain itu, beliau berkata bagi meningkatkan kecekapan guru KAFA di negeri itu, sebanyak RM150,000 diperuntukkan bagi tujuan latihan.
Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata kesemua inisiatif itu membabitkan implikasi kewangan tambahan kepada kerajaan negeri sebanyak RM4.2 juta setahun dan menjadikan peruntukan keseluruhan terkini untuk KAFA adalah RM8.5 juta setahun.
Beliau berkata MAINPP juga memutuskan untuk menyeragamkan pengoperasian semua premis KAFA di Pulau Pinang iaitu kembali kepada lima hari seminggu bermula 1 Julai ini, yang terhenti beberapa tahun lepas akibat wabak COVID-19.
Menurut Mohamad, MAINPP meningkatkan peruntukan bagi agihan pendidikan kepada RM35 juta bagi 2024 dan 2025 termasuk memperkenalkan agihan derma siswa baharu kepada pelajar Politeknik dan Tingkatan Enam.
"Bulan lepas juga, MAINPP telah memperuntukkan RM6.5 juta bagi mengagih 8, 740 unit peranti tablet kepada 263 sekolah menengah dan sekolah kebangsaan bagi memenuhi objektif digitalisasi pendidikan serta berharap tidak berlaku kesenjangan dalam kalangan pelajar tersebut menjelang 2030," katanya
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial