Oleh Muhamad Adzhar Tajuddin
IPOH, 19 Mei (Bernama) -- Sejak berita mengenai ibu gajah meratapi anaknya yang mati dilanggar lori kontena di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) 11 Mei lepas, Mohd Amir Faizal mula dikenali netizen di media sosial.
Mohd Amir, 47, adalah antara anggota Sukarelawan Skuad Sungai Petani Response Team yang terlibat membantu pihak berkuasa dalam operasi memindah ibu haiwan itu dan telah dua tahun menjalankan kerja-kerja sukarelawan membantu pengguna JRTB.
Peniaga itu banyak berkongsi maklumat mengenai gajah dan nasihat kepada pengguna JRTB demi menjamin keselamatan pengguna laluan berkenaan supaya tidak menjadi mangsa mamalia terbesar itu.
Selain bertindak membantu menghalau gajah sepanjang melakukan rondaan, antara bantuan lain yang dihulurkan melibatkan kerosakan kenderaan, kemalangan dan bencana kepada pengguna yang menggunakan laluan sejauh 123 kilometer (KM) menghubungkan Jeli, Kelantan dan Gerik, Perak itu.
“Kenangan paling saya tak boleh lupa setakat ini terjadi pada tahun lepas, ketika bersama-sama orang awam menyelamatkan seorang wanita yang terbabit dalam kemalangan di satu selekoh dalam laluan JRTB ini.
“Setelah mengeluarkan wanita itu daripada kereta yang dipandu, tiba-tiba keluar seekor gajah jantan dari hutan berhampiran insiden berlaku. Mujurlah kami sempat bawa wanita itu masuk ke dalam sebuah daripada kenderaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Berkongsi kisah kerja amal dilakukan bapa kepada empat cahaya mata itu berkata rondaan dilakukan sekurang-kurangnya 15 kali dalam sebulan bergantung kepada kelapangan serta aduan yang diterima sama ada secara terus melalui panggilan telefon atau platform media sosial.
Mohd Amir berkata lazimya beliau akan bertolak dari kediamannya di Bandar Seri Astana, Sungai Petani sekitar 10 pagi dan akan tiba di Batu Melintang, Jeli kira-kira 1 tengah hari, sebelum berpatah balik ke rumah dengan jarak keseluruhan perjalanan kira-kira 400 kilometer.
“Saya tak buat hari-hari. Ikut kelapangan masa dan bergantung pada aduan orang ramai. Saya juga tak letakkan tempoh masa untuk pulang ke rumah. Kadang-kadang keluar pagi balik petang, ada juga pernah sampai tengah malam sebab banyak kes.
“Adakalanya saya naik motosikal dan ada ketika memandu kereta. Peralatan seperti gergaji rantai, kit kecemasan, pemadam api dan ‘jumper’ juga sentiasa saya bawa bagi membantu sekiranya ada dalam kalangan pengguna memerlukan bantuan,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd Amir berkata beliau tidak lari daripada kecaman pihak yang tidak senang melihat dengan dirinya yang komited melakukan kerja amal tanpa mengharap pulangan.
Dalam menerima pujian, tidak kurang juga kata-kata sindiran yang dilemparkan, terutama di laman sosial menyebabkan hatinya pernah terdetik untuk ‘bersara’ daripada melakukan aktiviti itu.
Namun, hasrat itu dibiarkan berlalu selepas memikirkan tanggungjawab selain memastikan keselamatan orang ramai.
“Saya ada membaca sendiri komen-komen hinaan dan sindiran yang diberikan oleh netizen (pengguna laman sosial). Kadang-kadang kita rasa ‘down’ dan macam nak berhenti daripada lakukan aktiviti ini.
“Cuma, rasa tak sampai hati dan perasaan ‘down’ itu hilang apabila memikirkan tanggungjawab dan kesusahan para pengguna nak dapatkan bantuan sama ada jika berlaku kemalangan, kerosakan atau kehabisan minyak,” katanya yang mengamalkan bacaan doa Nabi Sulaiman serta zikir sebagai pendinding diri sepanjang melakukan kerja-kerja bantuan.
Apatah lagi jika berhadapan ancaman gajah, mungkin nampak seperti sudah biasa namun hatinya tetap gentar.
“Dalam pengamatan saya, gerak tubuh seperti telinga yang dilebarkan serta ekor yang sedikit terangkat adalah antara ciri-ciri gajah akan bertindak agresif,” katanya sambil menambah selain gajah, JRTB juga dijadikan laluan oleh haiwan liar lain seperti harimau belang, harimau kumbang, dan beruang matahari.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial