EKONOMI

Enam Bank Meterai LOI Sedia Kemudahan Kewangan Di JS-SEZ - Rafizi

19/05/2025 03:14 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Sebanyak enam bank menandatangani surat hasrat (LOI) dengan Kementerian Ekonomi hari ini, menyediakan kemudahan kewangan untuk menyokong Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kata Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli.

Enam bank itu ialah Malayan Banking Bhd (Maybank), CIMB Bank Bhd, Bank of America, HSBC Bank Malaysia Bhd, Sumitomo Mitsui Banking Corporation dan CGS International Securities.

Menurut Rafizi, LOI ialah langkah awal yang penting dalam merealisasikan visi ekonomi JS-SEZ.

“Ia (LOI) berteraskan empat tonggak utama dan yang pertama ialah sokongan pembiayaan dalam bidang strategik.

“Tonggak kedua dan ketiga memberi tumpuan kepada promosi dan libat urus dengan pihak berkepentingan manakala tonggak keempat melibatkan penyelidikan dan risikan pasaran,” katanya pada forum JS-SEZ Partners Dialogue: Advancing Facilitation hari ini.

Rafizi berkata kerjasama dengan pelbagai bank dari seluruh dunia melambangkan sesuatu yang lebih besar daripada sekadar dua negara ASEAN yang bekerjasama dalam inisiatif tersebut.

“Dengan bank berperanan sebagai penyalur modal, kehadiran mereka penting untuk menggalakkan penyertaan sektor swasta melalui pengumpulan modal dan aktiviti perdagangan.

“Mendapat sokongan daripada peneraju sistem kewangan ini mungkin menunjukkan kemajuan dan kepercayaan terbaik terhadap JS-SEZ setakat ini,” katanya.

Beliau berkata bank-bank antarabangsa, serantau dan tempatan akan merancang dan membangunkan program mereka sendiri mengenai jumlah peruntukan atau komitmen masing-masing untuk memudah cara program pembiayaan dalam menyokong JS-SEZ dan pelabur pada masa depan.

“Semasa kami membuat saringan awal terhadap bank-bank ini, kami menilai mereka berdasarkan strategi dan kumpulan pelanggan mereka supaya selaras dengan matlamat JS-SEZ. Idea utamanya ialah memastikan kita mempunyai bank-bank antarabangsa yang besar untuk memenuhi keperluan setiap rantau.

“Buat masa ini, kami menyerahkan kepada bank untuk memutuskan peruntukan modal mereka atau membangunkan program mereka sendiri untuk JS-SEZ.

“Bagaimanapun, bank-bank ini tahu bahawa mereka mempunyai akses terus kepada dasar kerajaan dan bantuan yang memberi mereka kelebihan apabila mereka cuba menarik pelanggan mereka untuk datang ke JS-SEZ,” katanya.

Sementara itu, Rafizi turut memberi jaminan bahawa Pelan Tindakan JS-SEZ akan dilancarkan pada akhir tahun ini.

Katanya ia akan merangkumi pelan hala tuju yang komprehensif menggariskan visi jangka panjang, aspirasi strategik dan peluang pelaburan dalam zon ekonomi khas itu.

“Ia boleh dianggap sebagai dokumen rujukan sehenti untuk bakal pelabur, penggubal dasar dan orang awam,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan