KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Seorang kanak-kanak perempuan warga Rohingya berusia 10 tahun dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras air longkang di hadapan Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Kampung Cheras Baru hari ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 6.07 petang menerusi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.
“Sebaik menerima laporan, anggota polis dan bomba telah digerakkan ke lokasi kejadian dan dimaklumkan terdapat dua kanak-kanak perempuan terjatuh ke dalam longkang berkenaan.
“Seorang daripada kanak-kanak itu yang berusia 11 tahun warga Rohingya berjaya diselamatkan oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, usaha mencari dan menyelamat mangsa kedua yang hilang dijalankan oleh pasukan penyelamat dengan kerjasama IPD Ampang Jaya dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang.
“Operasi mencari dan menyelamat dihentikan pada 10.30 malam memandangkan cuaca gelap serta hujan dan akan disambung semula pada esok bermula 8 pagi,” katanya.
Mohd Azam meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial