JENAYAH & MAHKAMAH

PGA Selamatkan 35 Pendatang Disyaki Mangsa Sindiket Pemerdagangan Manusia

20/05/2025 02:46 PM

KOTA BHARU, 20 Mei (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8, Briged Tenggara berjaya menyelamatkan 35 pendatang tanpa izin yang disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia selepas menyerbu sebuah rumah di Lorong Dato Kadok, Jalan Syed Kuning, Ketereh, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata serbuan pada 11.30 pagi itu dilakukan hasil risikan mengenai aktiviti penyeludupan manusia yang dipercayai menjadikan rumah tersebut sebagai lokasi transit.

“Ketika serbuan dijalankan, dua lelaki tempatan berada di dalam sebuah kereta di hadapan rumah terbabit, dan pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 35 pendatang asing yang terdiri daripada 11 lelaki warga Bangladesh serta 19 lelaki dan lima wanita warga Myanmar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati kesemua lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Myanmar tidak memiliki cop kemasukan yang sah dalam pasport, manakala selebihnya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Nik Ros Azhan berkata dua lelaki tempatan berusia 31 dan 57 tahun yang turut ditahan di lokasi, disyaki bertindak sebagai tekong yang menyeludup masuk kesemua pendatang ke negara ini melalui laluan tidak diwartakan.

“Hasil ujian saringan awal mendapati seorang daripada tekong itu positif dadah jenis methamphetamine. Kesemua pendatang ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala dua lelaki tempatan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya.

Beliau berkata kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu untuk siasatan dan tindakan lanjut.

PGA memaklumkan bahawa operasi seumpama ini akan diteruskan secara berterusan dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan, khususnya kegiatan penyeludupan manusia di kawasan sempadan negeri Kelantan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan