KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Warga Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) perlu kekal tangkas, cekap dan inovatif bagi memastikan agensi berita berusia 58 tahun itu akan terus relevan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata evolusi dunia kewartawanan kini memerlukan Bernama untuk turut berubah dan mampu bersaing dengan syarikat media yang lain.
“Kepada warga Bernama, saya tahu bukan mudah menjadi petugas agensi berita yang berintegriti dalam dunia kewartawanan yang penuh cabaran, tetapi saya percaya kita semua di sini boleh menjayakannya dengan berpegang kepada prinsip menyampaikan kebenaran dan membina kefahaman rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis sambutan ulang tahun Bernama ke-58 di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Nasriah Darus, Timbalan Ketua Pengarang Berita Ekonomi Azlina Aziz dan Editor Eksekutif yang juga Menanggung Tugas Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama Mohd Shukri Ishak.
Sementara itu Nur-ul Afida berkata Bernama yang kini bukanlah Bernama yang dahulu, ia kini berhadapan dengan dunia kewartawanan yang lebih mencabar.
“Kandungan kita juga terdedah kepada perbuatan ‘spin’ atau diolah menjadi berita palsu selain disebarkan sebagai maklumat yang tidak sahih.
“Saya melihat cabaran besar Bernama juga adalah dalam memenuhi jangkaan pelanggan dan stakeholder berikutan syarikat media lain berkemampuan memberi lebih banyak lagi, sejajar dengan perubahan semasa, termasuk teknologi seperti AI atau Kecerdasan Buatan,” katanya.
Bagi memenuhi keperluan tersebut dan memastikan warga Bernama turut kompeten dan berdaya saing, beliau berkata Bernama memberi tumpuan kepada siri kursus dan latihan berkaitan kewartawanan, termasuklah mendalami AI.
Nur-ul Afida berkata Bernama terus mengukuhkan kehadiran dan reputasinya di pentas antarabangsa, dan tahun ini juga merupakan tahun yang aktif bagi Bernama, antaranya mewujudkan kerjasama strategik dengan agensi-agensi berita serantau dan global, termasuk dalam rangkaian Pertubuhan Agensi-Agensi Berita Asia-Pasifik (OANA).
Beliau berkata pada 16 hingga 19 Feb lepas, Bernama menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Lembaga Eksekutif OANA, yang menyaksikan kehadiran 14 Presiden dan Ketua Pengarang Agensi Berita OANA.
Sementara itu Nur-ul berkata pada 11 April lepas, Bernama menerima pelawaan agensi berita China, Xinhua, untuk menganjurkan ASEAN-China Media and Think Tank Forum, yang julung kalinya diadakan di Malaysia.
"Pada 15 April pula, Bernama diberi penghargaan oleh China Media Group atau CMG, atas peranan dan kerjasama kita dalam menyebar luas kandungan Malaysia dan China.
“Untuk kedua-dua acara ini, saya berterima kasih kepada Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai atas bimbingan dan nasihat kepada Bernama sehingga kita berjaya menganjurkan program ini," katanya.
Beliau berkata Bernama juga sedang giat dengan tugas sebagai Hos Agensi Berita yang mengendalikan Pusat Media Antarabangsa sempena kepengerusian ASEAN oleh Malaysia sejak Januari lepas dan pada 22 hingga 28 Mei ini pula terlibat dengan siri mesyuarat ASEAN, termasuk Sidang Kemuncak ASEAN.
Di peringkat dalam negara, Bernama giat mempersiap diri untuk melaksanakan penganjuran sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Pusat Dagangan Dunia pada 14 Jun ini dengan pelbagai program sampingan diatur bagi memeriahkan sambutan itu.
Majlis sambutan ulang tahun ke-58 Bernama yang diadakan di Dewan Bernama menyaksikan acara memotong kek serta penyampaian hadiah kepada 10 daripada 42 pasukan terbaik acara 'Treasure Hunt BERNAMA' dan peserta pertandingan mencipta logo ulang tahun ke-58 Bernama.
Bernama ditubuhkan di bawah Akta BERNAMA 1967 dan mula beroperasi pada 20 Mei 1968 dengan memulakan perkhidmatan teks berita dan berkembang kepada perkhidmatan foto, sebelum mengendalikan stesen radio pada 2007, televisyen (2008) dan terkini media digital.
Sepanjang lebih lima dekad penubuhannya, Bernama menerusi perkhidmatan berita wires, saluran televisyen dan radio serta platform digital, memberi khidmat berlandaskan objektif penubuhannya dengan menyedia, menyebarluaskan berita dan maklumat secara tepat, adil dan saksama demi memelihara kepentingan nasional.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial