KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Hong Leong Investment Bank (HLIB) Hong Leong Investment Bank (HLIB) menjangkakan jumlah jualan atau keseluruhan industri (TIV) sektor automotif bagi 2025 akan mereda ke tahap 750,000 unit, selepas mencatat paras tertinggi 816,700 unit tahun lepas.
Bank pelaburan itu membuat unjuran itu berikutan pengurangan jumlah tempahan tertunggak dan penurunan pengambilan tempahan baharu dalam beberapa bulan akan datang.
“Namun, masih terdapat potensi kenaikan susulan pelancaran model baharu yang menarik pada 2025 selain tindakan pelbagai pengeluar peralatan tulen melaksanakan lebih banyak aktiviti pemasaran agresif untuk mengekalkan jualan, tetapi (pada masa sama) menjejaskan margin,” katanya.
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengunjurkan TIV 2025 akan mencecah 780,000 unit.
Pada Isnin, MAA berkata TIV susut sebanyak 16.8 peratus kepada 60,527 unit pada April lepas berbanding Mac, terutamanya disebabkan kekurangan hari bekerja ketika cuti Aidilfitri.
Ini menjadikan jumlah jualan setakat tahun ini kepada 248,730 unit atau susut 5.4 peratus tahun ke tahun.
Sementara itu, MIDF Amanah Investment Bank Bhd mengekalkan angka unjurannya bagi TIV 2025 sebanyak 792,000 yang seiring dengan unjuran MAA sebanyak 780,000 unit apabila kesan asas tinggi mulai ketara.
“Susulan perubahan cukai eksais untuk kenderaan pemasangan tempatan kini dijadual berkuatkuasa pada Januari 2026 dan berpotensi menyebabkan kenaikan harga kereta 10-30 peratus, ini akan memberi kesan ke atas permintaan pada tahun ini,” katanya.
MIDF juga menjangkakan TIV bagi Mei akan meningkat bulan ke bulan, disokong oleh permintaan ketara dari Malaysia Timur menjelang perayaan Kaamatan dan Gawai selain faktor jumlah hari bekerja yang lebih banyak.
Prospek itu turut disokong oleh minat berterusan terhadap model-model baharu yang diperkenalkan pada awal tahun ini, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial