AM

Johor Peruntuk RM213 Juta Laksana 353 Projek Pengurusan Banjir Sejak 2023

21/05/2025 02:43 PM

ISKANDAR PUTERI, 21 Mei (Bernama) -- Kerajaan Johor telah memperuntukkan RM213 juta bagi melaksanakan 353 projek pengurusan banjir di kawasan “hotspot” bencana itu melibatkan 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) sejak 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata untuk tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM106.2 juta bagi melaksanakan 104 projek di kawasan kerap berlaku banjir melibatkan 16 PBT.

Beliau berkata Majlis Bandaraya Johor Bahru menerima peruntukan tertinggi iaitu RM42.4 juta bagi melaksanakan 16 projek pengurusan banjir diikuti Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (RM36.1 juta, 13 projek), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (RM9.1 juta, 16 juta) dan Majlis Perbandaran Kulai (RM5.7 juta, 15 projek).

Projek yang dilaksanakan antaranya menaik taraf kolam takungan, membangunkan empangan kecil di sepanjang parit dan meninggikan tembok parit.

“Kaedah penyelesaian isu banjir adalah berbeza di satu-satu kawasan. Selain itu, perlu juga ada pengawalan dari segi pembangunan.

“Kita dapati sepanjang tiga tahun ini, antara punca kawasan yang dahulu tidak alami banjir tetapi sekarang banjir adalah disebabkan pembangunan tidak dikawal,” katanya dalam sidang media di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di sini hari ini.

Mohd Jafni berkata terdapat keperluan untuk menambah baik syarat dan spesifikasi perparitan serta pengurusan banjir dalam kebenaran merancang seiring dengan kepesatan pembangunan dan perubahan corak hujan.

“Spesifikasi yang diberi kepada pemaju ini adalah spesifikasi yang sudah 10 tahun, 15 tahun dan tidak relevan dengan jumlah hujan yang turun sekarang yang meningkat lima atau enam kali ganda.

“Kalau kita kawal bahagian pembangunan dan kita selesaikan kawasan hotspot banjir ini, insya-Allah keadaan (banjir di kawasan PBT) itu akan dapat diselesaikan sepenuhnya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan