EKONOMI

Anwar Gariskan Visi Berani ASEAN Dengan Integrasi Ekonomi, Inisiatif Grid Tenaga Serantau

21/05/2025 10:52 PM

PUTRAJAYA, 21 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengariskan visi strategik yang berani untuk fasa pertumbuhan ASEAN seterusnya, menekankan integrasi ekonomi yang lebih kukuh, pengembangan perdagangan dan ketersambungan tenaga rentas sempadan sebagai tonggak utama di bawah kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini.

Ketika menjawab soalan mengenai hala tuju blok serantau ini dalam keadaan persaingan geopolitik global yang semakin sengit, beliau berkata Malaysia bertekad untuk memacu ASEAN melangkaui peranan tradisinya sebagai platform neutral ke arah menjadi suara yang lebih kohesif dan dipacu nilai di Indo-Pasifik.

“Sebagai sebahagian daripada teras kita tahun ini, kita memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh keeratan ikatan ASEAN, meningkatkan kepentingan ekonomi dan perdagangan, dan melonjakkan pelaburan dalam kalangan negara anggota,” kata beliau di sini, hari ini.

Anwar berkata demikian semasa sesi taklimat antaranya berkaitan Sidang Kemuncak ASEAN 2025 bersama ketua-ketua pengarang media tempatan dan antarabangsa di Kompleks Seri Perdana, di sini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama Saraswathi Muniappan.

Antara lain, Anwar menyifatkan projek Grid Tenaga ASEAN sebagai langkah besar ke hadapan dalam kerjasama tenaga serantau.

Projek itu akan bermula dengan sambungan kabel yang menghubungkan Vietnam ke Semenanjung Malaysia melalui Grid Nasional, yang berpotensi disambungkan ke Singapura.

“Pada fasa pertama, perkara yang dilihat lebih berdaya maju dari segi ekonomi ialah menghubungkan Vietnam ke utara Malaysia dan selatan, dan kemudian menghubungkannya ke Singapura melalui Grid Nasional kita,” kata beliau.

Beliau berkata Petroliam Nasional Bhd (Petronas) boleh diberi peranan utama dalam melaksanakan segmen projek itu.

Anwar berkata pengembangan selanjutnya untuk meliputi Kemboja, Thailand, dan Sarawak dijangka dapat disaksikan dalam fasa masa depan, dengan memanfaatkan kapasiti besar Sarawak dalam tenaga alternatif, termasuk gas.

“Ini membuka kemungkinan untuk menyalurkan tenaga ke Kalimantan yang menempatkan ibu negara baharu Indonesia, malah ke selatan Filipina,” kata beliau.

Beliau juga berkata penyelesaian isu antara firma tenaga negeri Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dan syarikat minyak nasional Petronas telah membuka jalan untuk kerjasama tenaga yang lebih lancar, khususnya melibatkan Sarawak.

Terdahulu hari ini, Kerajaan Persekutuan dan Sarawak memeterai Deklarasi Bersama selepas mencapai persefahaman dalam isu Petronas dan Petros.

Deklarasi Bersama itu ditandatangani oleh Anwar dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Perdana Putra. 

Anwar dilaporkan berkata perjanjian itu mewakili satu langkah ke hadapan dalam pembangunan negara dan negeri melalui kerjasama antara Petronas dan Petros.

“Berikan sedikit masa kepada kerjasama ini -- kebijaksanaan akan terserlah. Saya yakin kerjasama ini akan berjaya,” kata beliau penuh harapan.

Dalam menjadikan Malaysia sebagai pemimpin proaktif dalam ASEAN, Anwar menegaskan komitmen kerajaan untuk mentakrifkan semula kedudukan global blok serantau itu melalui diplomasi pragmatik dan berasaskan nilai.

“Kita mahu menggerakkan ASEAN ke hadapan sebagai kuasa serantau dengan hala tuju ekonomi yang jelas dan penglibatan berprinsip. Ini bukan hanya sekadar mengenai berkecuali, malah mengenai nilai dan visi,” katanya.

Malaysia kini memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN 2025 secara giliran, dengan tema menumpukan komuniti, daya tahan ekonomi dan pembangunan mampan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan