AM

Maritim Malaysia Teroka Teknologi AI, Perkukuh Kawalan Perairan Negara

21/05/2025 10:37 PM

LANGKAWI, 21 Mei (Bernama) -- Sejajar dengan cabaran keselamatan maritim yang kian kompleks, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) komited untuk terus memperkukuh keselamatan perairan negara dengan meneroka penggunaan teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI).

Ketua Pengarahnya Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata pendekatan itu sebahagian daripada agenda reformasi operasi agensi dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan yang semakin mencabar.

“Maritim Malaysia melihat keperluan untuk meneroka teknologi baharu seperti AI, analisis data masa nyata serta sistem pemantauan pintar, bagi mempertingkatkan kecekapan pemantauan dan respons terhadap insiden di laut,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Dalam hal ini, katannya Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) dilihat menjadi medan penting untuk Maritim Malaysia mengenal pasti peluang kerjasama strategik serta teknologi yang bersesuaian dengan keperluan operasi agensi itu.

“Maritim Malaysia turut mengalu-alukan sebarang bentuk jalinan kerjasama baharu dengan rakan strategik, sama ada dari dalam mahupun di peringkat antarabangsa.

“Kita juga ingin memastikan aset, sistem dan keupayaan operasi kekal relevan dan efektif dalam mendepani cabaran semasa serta pada masa akan datang,” katanya.

Mohd Rosli turut menegaskan, teknologi bukanlah pengganti kepada kecekapan manusia, namun ia perlu dilihat sebagai pelengkap dalam memperkasakan operasi Maritim Malaysia secara menyeluruh.

Beliau berkata AI boleh membantu dari segi membuat keputusan pantas, menjejak vesel nelayan asing (VNA) atau memberi amaran awal melalui pengesanan automatik dan ia akan membantu penguat kuasa Maritim Malaysia di lapangan untuk lebih proaktif,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan