AM

SPRM Cadang Lucut Hak, Harta Tidak Diisytihar Allahyarham Tun Daim

22/05/2025 09:19 PM

PUTRAJAYA, 22 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mempertimbangkan cadangan untuk melucut hak pemilikan harta tidak diisytiharkan bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin yang dianggarkan lebih RM2 bilion.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata lapan kertas siasatan telah dibuka berdasarkan maklumat baharu yang diterima daripada agensi luar berkaitan harta pemilikan Daim serta keluarga dan proksi.

“Jadi maklumat terbaharu menunjukkan pemilikan aset arwah Tun Daim, keluarganya dan sekutunya tidak diisytiharkan kepada kami (SPRM) semasa siasatan yang kita jalankan pada 2023.

“Aset berkenaan sekiranya benar tidak diisytiharkan dan merupakan satu kesalahan di bawah akta kami (Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009), walaupun dengan ketiadaan Tuan Daim lagi kita akan mencadangkan untuk dilucut hak kepada kerajaan. 

“Ia terpulang kepada Timbalan Pendakwa Raya sama ada bersetuju atau tidak tetapi kita ke arah itu sebenarnya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Azam berkata pihaknya juga sedang berhubung dengan pihak berkuasa luar negara seperti Switzerland dan United Kingdom berhubung bukti pemilikan aset bekas menteri kewangan itu.

Ketika ditanya pemberita sama ada harta itu termasuk Menara Ilham yang dikatakan milik keluarga Daim, Azam berkata: “Anda teka sendiri, tapi saya boleh katakan banyak aset, mencecah hingga RM2 bilion.”  

Beliau berkata pada masa ini pegawai penyiasat sedang menyiapkan kertas siasatan dengan memanggil saksi bagi dipastikan sama ada harta tersebut diperoleh secara betul atau sebaliknya.

“Jadi, dalam kes ini saya telah memberi tempoh lebih kurang dua bulan kepada pegawai penyiasat untuk menyiapkan siasatan,” katanya.

Dalam sidang media berkenaan, Azam juga memaklumkan SPRM membekukan 100 akaun perbankan peribadi, ahli keluarga dan syarikat milik seorang tokoh korporat bergelar ‘Tan Sri’ dengan nilai keseluruhan lebih RM217 juta.

Beliau berkata tokoh korporat berkenaan dan empat individu telah dirakam percakapan manakala 13 lagi saksi akan dipanggil bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan satu pelaburan dengan syarikat luar pesisir yang dikawal oleh dua orang proksi yang disyaki terbabit dalam rasuah.

“Ia melibatkan penerimaan hasil daripada penggubahan wang haram berkaitan satu pelaburan, satu kontrak daripada sebuah syarikat dari Brazil melalui beberapa syarikat luar pesisir yang dikawal dua orang proksi warganegara Malaysia yang kita syaki terlibat dalam rasuah.

“Dalam hal ini kita perlu mengambil masa kerana melibatkan negara luar dan untuk kes ini kita perlu dapatkan keterangan serta kerjasama dari Brazil, Singapura, Belanda dan beberapa negara lain,” katanya.

Azam berkata SPRM telah membuka dua kertas siasatan bagi mengesan transaksi kewangan yang berlaku di negara berkenaan hingga wang itu sampai ke Malaysia.

“Kita telah membuka dua kertas siasatan. Satu kertas siasatan di bawah Akta SPRM berkaitan isu rasuah dan yang kedua mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“Dan dalam hal ini adalah penting untuk kita mengesan ataupun mendapatkan keterangan berguna (mengenai) transaksi kewangan yang berlaku dari negara berkenaan hinggalah wang itu sampai ke Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan