AM

JKDM Sokong Pengukuhan Peranan AKPS Di Sempadan Negara

30/09/2025 07:12 PM

PUTRAJAYA, 30 Sept (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyatakan sokongan penuh terhadap usaha kerajaan memperkukuh kawalan keselamatan negara menerusi pelaksanaan dasar strategik yang menyaksikan fungsi pemeriksaan di pintu masuk sempadan negara diambil alih oleh Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Ketua Pengarah JKDM Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin dalam kenyataan hari ini berkata pengambilalihan secara berperingkat yang bertujuan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan di sempadan itu, bermula pada 1 Jan lepas di Rantau Panjang, Kelantan.

Beliau berkata ia diikuti fasa kedua melibatkan 21 pintu masuk tambahan bermula 2 Feb lepas.

"Seiring dengan pelaksanaan ini, JKDM telah melakukan pindah butir 1,053 waran perjawatan pegawai kepada AKPS, melibatkan lapan pegawai di Rantau Panjang pada 1 Jan lepas dan 1,045 pegawai di 21 pintu masuk pada 1 Okt (esok)," katanya.

Beliau berkata dengan pengambilalihan itu, AKPS kini bertanggungjawab sepenuhnya melaksanakan semua fungsi pemeriksaan di pintu masuk sempadan, merangkumi pemeriksaan ke atas pergerakan individu, kenderaan serta barangan dagangan yang sebelum ini dilaksanakan oleh JKDM.

JKDM pula, menurut Anis Rizana akan terus melaksanakan peranan sebagai agensi pemungut cukai tidak langsung utama negara di semua pintu masuk sempadan darat, laut dan udara dengan memberi tumpuan kepada fungsi teras iaitu penaksiran serta kutipan cukai.

"Pengukuhan peranan AKPS di sempadan diharapkan dapat memperkukuh usaha membanteras penyeludupan serta jenayah rentas sempadan secara lebih berkesan demi menjamin keselamatan rakyat dan memelihara kedaulatan negara.

"JKDM optimis bahawa kerjasama erat antara AKPS dan JKDM akan memastikan proses pelepasan dagangan serta pergerakan individu di sempadan berjalan lancar, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kutipan hasil negara dan mempertingkatkan kualiti perkhidmatan di pintu masuk negara," katanya.

Dalam kenyataan berlainan, AKPS memaklumkan agensi itu yakin dengan sokongan yang diberikan JKDM termasuk perjawatan pegawai sebanyak 1,045 orang di 21 pintu masuk mulai 1 Okt ini dapat memperkukuh peranan dan fungsi AKPS di pintu masuk.

"Dalam hal ini, AKPS akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan, kawalan dan keselamatan di pintu masuk negara," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, AKPS memandang ke hadapan bahawa hubungan kerjasama yang terjalin antara agensi berkenaan dengan JKDM akan terus kukuh dan bersama-sama merealisasikan hasrat kerajaan dalam mendaulatkan sempadan negara demi kesejahteraan rakyat. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan