AM

Tun Musa Zahir Kesedihan, Ucapan Takziah Atas Pemergian Bung Moktar

05/12/2025 10:25 AM

KOTA KINABALU, 5 Dis (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman menzahirkan kesedihan dan ucapan takziah kepada keluarga Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggal dunia awal pagi tadi.

Musa berkata semasa hayatnya, Allahyarham memberi sumbangan besar kepada Sabah, khususnya dalam kapasiti beliau sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Ahli Parlimen Kinabatangan.

“Sudah tentu dalam jangka masa yang panjang itu, beliau telah menaburkan banyak jasa kepada negeri dan negara melalui pelbagai cadangan dan saranan semasa bergelar wakil rakyat.

“Semua jasa yang telah disumbangkan akan tetap dikenang seluruh lapisan rakyat di Sabah,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Musa berkata pemergian tokoh politik veteran itu merupakan kehilangan dirasai semua pihak yang menghargai sumbangan dan khidmat bakti dicurahkan Allahyarham sepanjang tempoh perkhidmatan awam beliau.

“Semoga kenangan terhadap jasa besar disumbangkan (Allahyarham) kepada negeri dan negara akan terus menjadi dorongan serta ingatan kepada generasi masa kini,” katanya.

Bung Moktar, 66, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini pada 1.46 pagi tadi dan pemergian itu disahkan anaknya Naim Kurniawan Moktar.

Jenazah Allahyarham dibawa ke rumahnya di Luyang dan solat jenazah akan dilakukan di Masjid Negeri Sabah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Likas di sini yang dijadualkan selepas solat Jumaat.

Bung Moktar yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri ke-17 pada 29 Nov. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan