AM

PRN Sabah: SPR Adakan Mesyuarat Khas 16 Okt

08/10/2025 05:56 PM

PUTRAJAYA, 8 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 16 Okt ini, bagi membincangkan beberapa tarikh penting dan perkara lain berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata pihaknya telah menerima surat pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 daripada Speaker DUN Datuk Seri Kadzim M Yahya, semalam.

“Sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 21 Fasal (4) Perlembagaan Negeri Sabah, suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Isnin lepas, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN Sabah pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Ketua Menteri Bersama Wakil Rakyat Kerajaan Sabah di Menara Kinabalu.

Pengumuman dibuat selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu.

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli DUN yang dilantik.

PRN Sabah Ke-16 pada 2020 menyaksikan GRS yang ketika itu berada dalam gabungan Perikatan Nasional bersama Barisan Nasional (BN) dan PBS serta sokongan Ahli DUN bebas, berjaya membentuk kerajaan Sabah dengan memperoleh 41 daripada 73 kerusi dipertandingkan.

Parti Warisan pula meraih 23 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi sembilan kerusi.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan