DUNIA

ASEAN Perlu Jadi Pengantara Di Tengah Persaingan Kuasa Besar -- Ramos-Horta

08/10/2025 05:44 PM

Oleh V. Sankara

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- ASEAN boleh memainkan peranan lebih besar sebagai pengantara bagi meredakan ketegangan antara kuasa besar dunia dan mengelakkan konflik serantau, kata Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta.

Dalam temu bual khas rancangan Bernama TV Timor-Leste’s Next Chapter: With ASEAN and Malaysia, beliau berkata sumbangan Timor-Leste kepada blok serantau itu adalah untuk kekal aman dan demokratik sambil menyokong peranan lebih besar ASEAN dalam hal ehwal global.

“Tanggungjawab kami ialah memastikan Timor-Leste kekal aman, demokratik dan terbuka. Selain itu, ASEAN boleh dan mesti menjadi pengantara antara China, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) -bagi mengurangkan ketegangan, mengelakkan konfrontasi dan mengekang peningkatan pertikaian seperti di Laut China Selatan,” katanya.

Ramos-Horta, yang menyifatkan penyertaan rasmi ke dalam ASEAN, yang bakal direalisasikan itu sebagai “pencapaian besar dan satu lagi bab emas” dalam sejarah Timor-Leste, berkata kekuatan blok serantau itu terletak pada kepelbagaian dan sifat keterangkuman.

“Golongan majoriti mesti berusaha lebih keras supaya golongan minoriti berasa diterima. Tiada sesiapa - sama ada daripada kumpulan etnik atau agama - harus diketepikan,” katanya.

Berhubung isu Myanmar, beliau menggesa dialog nasional yang inklusif “tanpa prasyarat”, sambil menegaskan keutamaan harus diberikan kepada usaha menamatkan keganasan dan secara beransur-ansur membina sistem politik yang inklusif.

Penerima Hadiah Keamanan Nobel itu turut menekankan keutamaan domestik Timor-Leste, dengan menyatakan pendidikan dan pembangunan belia sebagai teras kepada masa depan negara serta keupayaannya untuk menyumbang kepada ASEAN.

Ramos-Horta turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan teguh mereka terhadap usaha Timor-Leste untuk menyertai ASEAN.

“Kami akan menjadi rakan yang setia dan konsisten kepada semua anggota ASEAN lain,” katanya.

Negara termuda di Asia Tenggara itu dijangka secara rasmi diterima sebagai anggota ASEAN ke-11 semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada akhir bulan ini.

Timor-Leste, yang mencapai kemerdekaan pada 20 Mei 2002, secara rasmi memohon untuk menyertai ASEAN pada 2011.

Penyertaan ini akan menandakan satu pencapaian penting bagi blok serantau itu, apabila Timor-Leste menjadi anggota baharu pertama selepas 26 tahun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan