AM

Kerajaan Galak Institusi Kewangan Sokong Pelaksanaan Skim Sewa Beli Rumah, Skim Bina-Kemudian-Jual 

10/10/2025 07:48 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Kerajaan menggalakkan institusi kewangan untuk menyokong pelaksanaan skim sewa beli rumah dan skim bina-kemudian-jual selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bagi pembeli rumah pertama, kerajaan bercadang pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah pertama berharga sehingga RM500,000 dilanjutkan selama dua tahun iaitu sehingga 31 Dis 2027.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan bercadang mengenakan duti setem pada kadar rata daripada empat kepada lapan peratus ke atas surat cara pindah milik rumah kediaman oleh individu bukan warganegara dan syarikat asing kecuali individu pemastautin tetap di Malaysia.

“Langkah ini memastikan pasaran hartanah kekal berdaya saing serta dapat mengawal kenaikan harga rumah untuk manfaat rakyat,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata kerajaan turut mencadangkan perbelanjaan pengubahsuaian dan menukar bangunan komersial kepada tempat kediaman diberi potongan cukai khas bersamaan 10 peratus daripada perbelanjaan yang layak dan potongan cukai terhad sehingga RM10 juta. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan