AM

Kerajaan MADANI Komited Bina Lebih Banyak Rumah Mesra Rakyat

12/10/2025 06:41 PM

KULIM, 12 Okt (Bernama) -- Kerajaan MADANI komited untuk membina lebih banyak Rumah Mesra Rakyat (RMR) di seluruh negara dalam usaha membantu golongan kurang berkemampuan terutama B40 memiliki kediaman sendiri, kata Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Chan Ming Kai.

Beliau berkata kerajaan akan sentiasa menyokong usaha Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dalam memastikan setiap rakyat berpeluang memiliki kediaman sendiri kerana ia adalah satu daripada keperluan asas yang diperlukan oleh semua orang.

“Sebenarnya banyak yang buat permohonan untuk cuba dapatkan rumah kos rendah tetapi permohonan yang rumit selain perlu menunggu giliran menyebabkan rakyat rasa terbeban. Kalau cara pengurusan dapat dibuat dengan baik, saya yakin semua orang layak untuk mendapatkan rumah.

“Program RMR ini adalah bukti keprihatinan kerajaan dalam meringankan beban rakyat dan meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya pada Majlis Penyerahan Kunci RMR kepada lima penerima di Kampung Badlishah dekat sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan yang menanggung hutang sebelum ini berjaya mengutip RM15.5 bilion hasil tindakan tatakelola baik yang dilakukan oleh kerajaan terutama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita berjaya jimat wang berbilion, jadi boleh tambah lagi jumlah RMR untuk keperluan rakyat. Kerajaan mahu pastikan semua rakyat tidak terbeban dengan kos perumahan dan Perdana Menteri memang sentiasa mengambil berat atas segala isu melibatkan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi SPNB Datuk Prof Dr Mohd Azmi Mohd Lila berkata sehingga 31 Sept lepas, SPNB berjaya menyiapkan 6,927 unit RMR di Kedah, manakala 74,138 unit RMR berjaya dibina di seluruh negara.

“SPNB sentiasa komited bagi memastikan penyediaan projek-projek perumahan kepada seluruh rakyat di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diberikan keutamaan dalam memperkasa agenda perumahan serta kesejahteraan rakyat menerusi kerangka Malaysia MADANI,” katanya.

Seorang penerima RMR, Muhammad Rahimi Jaafar, 27, yang bekerja sebagai penjawat awam berkata dia tidak menyangka permohonan untuk membina rumah di tanah milik ayahnya diluluskan, sekali gus membolehkannya memulakan hidup baharu di rumah berkenaan.

“Saya mohon pada 2020 dan dokumen semua lengkap pada 2023. Dalam dua tahun, syukur rumah yang saya mohon siap. Memang tidak sangka, saya berterima kasih kepada semua pihak termasuk kerajaan, SPNB, KPKT kerana merealisasikan impian saya untuk mempunyai rumah sendiri,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan