KULAI, 12 Okt (Bernama) -- Seorang pesara swasta kerugian RM175,305 selepas dipercayai terperdaya dengan sindiket penipuan jualan emas lelong menerusi dalam talian pada 10 Sept lepas.
Ketua Polis Daerah Kulai ACP Tan Seng Lee berkata wanita berusia 55 tahun itu tertarik dengan iklan di Facebook yang menawarkan jualan emas 916 secara lelong sebelum menekan pautan yang disediakan.
“Mangsa kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan Telegram menggunakan nama ‘Pajak Gadai Lelong Emas 916’ dan berminat membeli rantai tangan emas berharga RM75 sebelum berurusan dengan seorang individu dikenali sebagai Nurul Aliya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya mangsa diminta membuat bayaran awal RM655 bagi urusan harga emas dan caj penghantaran, sebelum diarahkan melakukan 35 transaksi ke beberapa akaun bank berbeza.
“Keseluruhan bayaran berjumlah RM175,305 itu dibuat antara 6 Okt hingga semalam, kononnya bagi membayar pelbagai caj termasuk cukai kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), duti eksais dan beberapa bayaran lain.
“Mangsa hanya menyedari ditipu apabila terus diminta membuat bayaran tambahan sebelum tampil membuat laporan polis semalam,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial