KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Tahap ketersediaan operasi perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) secara keseluruhan berada pada kadar 99.19 peratus sejak dilancarkan semula pada 1 Julai lepas.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata setakat 8 Okt lepas, perkhidmatan Aerotrain di KLIA telah membawa seramai 5.33 juta penumpang dan merekodkan jarak perjalanan sejauh 39,942 kilometer.
“Projek ini berada dalam tempoh liabiliti kecacatan bagi tempoh dua tahun. Buat masa ini, sistem mekanikal dan semboyan (signaling) bagi Aerotrain sedang melalui fasa penyesuaian awal ke arah mencapai kestabilan penuh dalam operasi,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai punca kegagalan penyelenggaraan Aerotrain KLIA yang menyebabkan kerap berlaku kerosakan serta tindakan segera kerajaan bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan penumpang di lapangan terbang itu kembali lancar dan selamat.
Hasbi berkata sebanyak 19 kes gangguan operasi direkodkan antara 2 Julai hingga 30 Sept lepas.
Menurutnya, selain masalah teknikal, gangguan operasi itu turut berpunca daripada faktor manusia, termasuk tindakan penumpang yang cuba membuka pintu Aerotrain secara paksa.
Menjawab soalan tambahan Khairil Nizam mengenai mekanisme penalti kepada pengeluar atau penyedia perkhidmatan sekiranya berlaku kegagalan perkhidmatan, Hasbi berkata mereka boleh dikenakan penalti sehingga maksimum RM190,000 sebulan, sekiranya gagal menyediakan fasiliti pada tahap operasi terbaik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial