AM

Lebih 5,000 Pelajar Kejuruteraan Sertai Hari Pengambilan Pekerjaan Semikonduktor Malaysia 2025

13/10/2025 06:08 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Hari Pengambilan Semikonduktor Malaysia (MSRD) mencatat kejayaan besar apabila menghimpunkan 5,000 pelajar tahun akhir jurusan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (E&E) dari seluruh negara bersama lebih 30 syarikat semikonduktor terkemuka yang menawarkan lebih 600 peluang pekerjaan bernilai tinggi.

Dianjurkan oleh Akademi Semikonduktor Lanjutan Malaysia (ASEM) di bawah Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), program berkenaan turut memudahkan lebih 1,500 sesi temu duga dijalankan di lokasi, mencerminkan momentum pengambilan tenaga kerja yang kukuh serta peluang pekerjaan nyata buat graduan.

Sidec dan ASEM dalam kenyataan bersama memaklumkan para pelajar yang menyertai program itu datang daripada pelbagai institusi termasuk Universiti Malaysia Perlis, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi MARA, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.

Penyertaan mereka menggambarkan penglibatan menyeluruh di peringkat nasional serta minat yang semakin meningkat terhadap kerjaya dalam bidang reka bentuk cip, pengesahan dan penyelidikan serta pembangunan (R&D), sekali gus mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab ekosistem bakat semikonduktor negara.

Diadakan bersempena Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor ke-10 (SDEC2025), acara itu menampilkan lebih 30 pemain industri global dan tempatan termasuk AMD, Infineon Technologies, Texas Instruments, Vitrox, SkyeChip, Maistorage, FirstChip, STMicroelectronics, NXP, Tenasic, Oppstar dan Melexis.

Jawatan yang ditawarkan mempunyai gaji permulaan antara RM5,000 hingga RM6,500 bagi siszawah baharu, dan boleh mencecah sehingga RM35,000 sebulan bagi jurutera kanan.

Pengurus Besar ASEM Angel Low, berkata program itu menandakan kejayaan terbesar Malaysia dalam usaha pengambilan tenaga kerja sektor semikonduktor setakat ini — bukti kukuh bahawa ekosistem negara semakin matang serta mampu mencipta peluang nyata untuk bakat muda.

“Melalui kerjasama antara industri dan institusi akademik, kita bukan sekadar membina pekerjaan, tetapi kerjaya yang menjadi pemacu masa depan teknologi tinggi Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Sementara itu, Sidec dan ASEM memaklumkan bahawa kejayaan penganjuran program tersebut mencerminkan komitmen kukuh Malaysia dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi dalam industri semikonduktor.

Mereka menjelaskan bahawa pelaburan kerajaan Selangor dalam Taman Reka Bentuk Litar Semikonduktor Malaysia di Puchong dan Taman Reka Bentuk Litar 2 yang bakal dibangunkan di Cyberjaya — bersama sasaran ASEM untuk melatih 20,000 jurutera menjelang 2035 dan akan mempercepatkan pertumbuhan negara di bawah Strategi Semikonduktor Nasional.

Menurut kenyataan itu, kejayaan MSRD juga mencerminkan keselarasan antara inisiatif teknologi tinggi Selangor dengan Belanjawan 2026 yang menekankan pelaburan semikonduktor, pembangunan bakat dan inovasi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan