EKONOMI

IMF Unjur Pertumbuhan Global Menyederhana Kepada 3.2 Peratus Pada 2025

15/10/2025 01:01 AM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Pertumbuhan global diunjurkan perlahan kepada 3.1 peratus pada 2026 berbanding 3.2 peratus tahun ini daripada 3.3 peratus pada 2024, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

IMF dalam kenyataan bersempena laporan Tinjauan Ekonomi Dunia (WEO) edisi Oktober 2025 yang dikeluarkan di Washington DC hari ini berkata ekonomi maju diunjur berkembang kira-kira 1.5 peratus manakala pasaran sedang pesat membangun serta ekonomi membangun melebihi sedikit daripada empat peratus.

“Ekonomi global sedang melakukan penyesuaian dengan landskap yang dipengaruhi oleh langkah dasar baharu. Beberapa langkah ekstrem seperti tarif yang tinggi telah dikurangkan melalui rundingan dan  penyesuaian semula dasar.

“Bagaimanapun, keadaan keseluruhan kekal tidak menentu, dan faktor sementara yang menyokong aktiviti ekonomi pada separuh pertama 2025 seperti pelaksanaan awal kini semakin berkurangan,” katanya.

Menurutnya keadaan ini telah menyebabkan unjuran pertumbuhan global disemak naik berbanding WEO edisi April 2025 namun masih menunjukkan semakan menurun berbanding unjuran sebelum perubahan dasar.

IMF dalam ringkasan eksekutifnya memaklumkan prospek pertumbuhan global semakin baik berbanding laporan kemas kini WEO edisi Julai.

Katanya pertumbuhan adalah perlahan berikutan ketidaktentuan dan perlindungan walaupun kejutan daripada tarif itu adalah lebih kecil berbanding jangkaan awal.

Pada asas akhir tahun, pertumbuhan global diunjurkan perlahan kepada 2.6 peratus pada 2025 daripada 3.6 peratus pada 2024.

Ekonomi maju diunjur berkembang kira-kira 1.5 peratus pada 2025 hingga 2026, dengan pertumbuhan perlahan Amerika Syarikat kepada 2.0 peratus.

“Pasaran sedang pesat membangun dan ekonomi membangun diunjur menyederhana melebihi sedikit daripada 4.0 peratus," katanya.

IMF turut mengunjurkan kadar inflasi global menyusut kepada 4.2 peratus pada 2025 dan 3.7 peratus pada 2026 dengan variasi yang ketara antara negara

Jumlah perdagangan dunia pula diunjur berkembang pada kadar purata 2.9 peratus untuk tempoh 2025 hingga 2026 dengan sokongan pelaksanaan awal dasar pada 2025, namun masih perlahan berbanding kadar pertumbuhan 3.5 peratus pada 2024

Sementara itu, IMF turut menggesa kalangan penggubal dasar untuk memulihkan keyakinan melalui dasar yang berwibawa, telus dan mampan.

Diplomasi perdagangan perlu diselaraskan dengan penyesuaian makroekonomi manakala penampan fiskal perlu dibina semula, kebebasan bank pusat perlu dikekalkan, dan usaha ke atas reformasi struktur perlu digandakan, katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan