KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Bekalan elektrik yang terjejas susulan insiden gangguan bekalan di Stesen Penjana Bebas, Edra Power Plant, Melaka telah pulih sepenuhnya pada 5.54 petang tadi.
Perkembangan itu dimaklumkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi hantaran di Facebook.
“TNB mengucapkan terima kasih atas kesabaran semua pelanggan yang terkesan dan memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi akibat gangguan bekalan ini,” menurut TNB.
Orang ramai boleh melaporkan sebarang gangguan bekalan melalui saluran SARA the Chatbot di mytnb.com, hubungi talian 15454, menghantar pesanan menerusi Facebook TNB Careline atau X @Tenaga_Nasional serta e-mel kepada tnbcareline@tnb.com.my.
Terdahulu, TNB mengesahkan beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang dan Johor Bahru terputus bekalan elektrik susulan insiden gangguan bekalan di Stesen Penjana Bebas, Edra Power Plant di Melaka hari ini.
Dalam kenyataan, TNB memaklumkan insiden gangguan teknikal dikesan pada 4.12 petang di stesen jana kuasa terbabit yang telah terpelantik menyebabkan kehilangan beban sebanyak 2,200 megawatt.
Bagaimanapun, menurut TNB, terdapat beberapa kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan yang berasingan dan tidak berkaitan dengan insiden itu masih belum dipulihkan.
“Pihak kami (TNB) akan meneruskan usaha tindakan pembaikan dengan kadar segera.
“TNB amat menghargai kesabaran pelanggan yang terkesan dan memohon maaf atas kesulitan dialami. Keutamaan kami adalah memulihkan bekalan dengan selamat dan secepat mungkin bagi memastikan kestabilan sistem dan keselesaan pelanggan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial